Rencana

Kisah Seorang Nenek Bersama Cucu OKU

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kisah nenek SALASIAH BT DARANI yang disiarkan di media sosial bersama cucunya yang sangat tabah meneruskan kelangsungan hidup biarpun hidup keadaan yang amat dhaif dan serba kekurangan.

Mendengar berita ini Pasukan Komuniti DAP Teluk Intan bersama-sama  dengan Saudara Terence Naidu Adun Pasir Bedamar dan Cik Dyana Sofya Pengerusi Pusat Komuniti DAP Teluk Intan telah segera ke rumahnya di Jalan Sungai Nibong.

Redup matanya ketika menerima kunjungan kami. Seperti kebiasaan tuan rumah menerima kunjungan tetamu, nenek ini sibuk menyapu-nyapu lantai dengan kain sebelum mempersilakan kami duduk biarpun kesihatanya uzur dek kerana usia mencecah 90 tahun.

“Masuk-masuk” katanya.

Melabuhkan diri saudari  Dyana Sofya dan Terence Naidu Adun Pasir Bedamar, di satu sudut berlapikkan tilam nipis duduk seorang warga oku  memerhatikan kami datang.

Bertanya khabar nenek yang menjaga cucu OKU Mohd Yassir bin Hashim 34 tahun ramah bicaranya.

Memulakan bicara katanya, “Inilah rumah opah bukan ada apa. Kami orang susah. Bantuan dari JKM untuk makcik RM200 dan untuk cucu RM200. Dari mula dapat sampai sekarang itulah jumlah yang kami dapat. Belanja RM200 bukan cukup. Nak bayar duit api, air. Cucu tu pakai lampin pakai buang. Nak kena beli. Nasib baik opah tak pakai lampin juga. Kalau tidak mana nak cukup. BR1M pun opah tak dapat.

“Mengapa tak dapat BR1M ye nek,” ujar saya . “Entah tak tahu”, katanya pendek.

Itulah jawapan pasti dari seorang wargaemas yang terpinggir dari mendapat kemudahan yang sepatutnya diberi perhatian oleh semua jabatan yang mempunyai peruntukan untuk membantu golongan miskin dan dhaif.

“Dulu masa pilihan raya semua pihak datang ke rumah opah. Orang pangkat besar silih berganti datang rumah opah ni”, Ujar nenek ini

“Cakap macam-macam , janji itu ini kata nak tolong opah. Sampai masa pergi mengundi pun di bawa dan jaga opah sampai ke pusat mengundi. Cucu opah ni pun dipapah masuk sampai dalam kereta. Lepas pilihanraya habis,  yang berjanji macam-macam tu datang menjenguk opah pun tak ada,” katanya lagi.

“Ada orang kebajikan datang kata mereka, opah dapat bantuan dari Baitulmal RM700. Mana ada kami dapat sampai sekarang,” ujarnya kesal.

Bagi mencari wang tambahan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian, nenek ini bersama-sama dengan cucunya akan duduk dibawah pokok berdekatan dengan rumahnya mengharap ihsan dari orang awam yang lalu lalang dijalan tersebut. Jika ada yang bersimpat wang akan dihulurkan kepada nenek ini.

“Orang kebajikan tak suka opah minta sedekah. Mereka kata kenapa opah minta sedekah. Salah ke opah duduk dibawah pokok tu mengharap rezeki sumbangan dari orang lain. Duit bantuan tak cukup. Dengan cara ini dapat juga tambah-tambah duit buat belanja seharian. Bukan dapat banyak pun,” cerita nya sedih.

“Baru-baru ini orang kebajikan kata nak ambik cucu opah yang OKU ni lepas raya. Nak bela. Opah cakap dengan mereka opah tak benarkan. Biar sampai mati dia nenak akan bela,” ujarnya tegas

‘Sekarang ni yang tolong opah orang DAP. Mereka yang banyak bagi bantuan.  Masa nak mengundi hari tu macam-macam orang kerajaan yang datang ke rumah opah cakap pasal DAP. Kata mereka jangan percaya cina. Sampai ada yang kata , perempuan melayu (merujuk pada Dyana Sofya) tu dah makan babi sebab tu sokong cina,” ujarnya lagi.

Kisah warga dhaif, hidup dalam kemiskinan dan tidak menerima bantuan yang sewajarnya adalah secebis kisah benar masyarakat warga Malaysia. Cerita mereka dijanjikan perlbagai janji manis ketika pilihan raya bukan cerita baru atau rekaan semata-mata. Wujud dan masih ada dimana-mana ceruk tempat.

Kedukaan mereka tidak pernah mendapat tempat yang sewajarnya. Kesusahan mereka dipandang sebelah mata oleh pihak yang memikul tanggungjawab membantu mereka. Kepincangan jelas kelemahan terbukti.

Kisah nenek ini adalah secebis cerita dari warga Malaysia yang berupaya kami ketengahkan dan kami percaya ramai yang senasib dengan nenek ini, cerita mereka belum diketengahkan lagi. Jom kita bantu mereka yang memerlukan.