Rencana

Bahagian V: Turki tanpa Ataturk – era Perang Dunia Kedua (1939–45)

Pemergian Mustafa Kemal Ataturk pada 1938 telah digantikan oleh teman seangkatan tenteranya, Ismet Inonu, sebagai Presiden. Turki muda pasca-Ataturk mengalami kesusahan sekali lagi. Dalam keadaan pembangunan negara yang masih belum sekata, jalan-jalan yang masih belum dibina penuh, kemiskinan yang masih melarat, Perang Dunia Kedua pula bakal meletus. Kali ini Inonu, seperti pemimpin-pemimpin lain yang berkebolehan, menghasilkan dasar melalui pengalaman, situasi semasa dan jangkaan mendatang.

Dengan menyandang gelaran Ismet sang pemimpin abadi (sonsuz Ismet) yang diberi Parlimen sebagai mengabsahkan beliau selaku pewaris sulung Kemalisme, Inonu harus lebih cermat memutuskan segala dasar demi kelangsungan republik muda itu. Maka tidak ada satu pun dasar yang dibincang dan diputuskan di Parlimen tanpa terlebih dahulu melalui penelitian semula dan kelulusan Presiden.

Inonu mengambil keputusan untuk menjauhi Perang Dunia Kedua tetapi memilih untuk berpihak kepada blok Berikat (Allies) yang diketuai oleh Britain, Perancis dan kemudiannya Amerika Syarikat, dan bukannya dengan blok Paksi (Axis) pimpinan Jerman, kendatipun Empayar Osmaniyah dahulu mempunyai hubungan matang dengan Jerman, sewaktu Peran Dunia Pertama (1914-18).

Dengan alasan perang terlalu tinggi kosnya, memakan wang dan nyawa, Turki yang baru ‘pulang’ dari perang (Perang Dunia Pertama dan Perang Pembebasan Turki 1919-22) masih ‘luka dan berdarah’ tidak bersedia mengambil risiko itu lagi. Selain itu pada pengiraan Inonu, kuasa Berikat bakal menang mudah manakala kuasa Paksi akan lenyap.

Maka dunia berdebar-debar ketika itu apabila Jerman pimpinan diktator Nazi, Adolf Hitler yang bersekongkol dengan diktator Fasis, Benito Mussolini yang menerajui Itali, bersedia untuk menggempur Eropah.

Menanti perang bermula

turki3Dalam pertemuan pada 1939 di antara Ketua Turus Tentera Turki, Fevzi Cakmak dan Jeneral Maxime Weygand serta Archibald Wavell, masing-masing wakil Perancis dan British di Timur Tengah, pihak British mengharapkan Turki menjaga tanah Balkan daripada diserang Itali dan Jerman di samping mahu kebenaran untuk mengunapakai tanah Turki sebagai pangkalan mereka, dengan Turki dijanjikan bekalan senjata.

Namun, kelumpuhan Perancis setelah ditewaskan Jerman pada Jun 1940 telah merubah peranan Turki dalam perang tersebut. Ramalan Inonu telah meleset. Kuasa Berikat tidak menang mulak, rupa-rupanya perang itu bakal memakan masa yang panjang untuk mengalungkan kemenangan kepada pihak Berikat.

Pada pandangan penulis, beberapa cadangan Fevzi Cakmak, kepada pihak Berikat yang dilihatnya sebagai ‘Keutamaan dalam Agenda’ menyebabkan Berikat lemah dan armada Perancis gagal mempertahankan Mediterranean daripada serangan Itali. Sementara itu desakan Perancis bagi Turki menyertai perang secara langsung mengundang kemarahan Inonu dan kabinetnya. Turki terus mengambil langkah pasif.

Penjualan minyak Soviet Union kepada Jerman pula perlu disekat bagi melemahkan kemaraan tentera Hitler. Lantas Perancis melalui kedutaannya meminta izin laluan pesawat blok Berikat melalui ruang udaranya secara ‘halimunan’ bagi memusnahkan tangki minyak Soviet di Baku yang menyalurkan bahan mentah itu kepada Jerman. Perihal ini dipersetujui Turki.

Untuk memahami keadaan pada masa itu, Soviet Rusia pimpinan Joseph Stalin pada Ogos 1939 telah memeterai perjanjian saling tidak-menyerang dengan Hitler. Dengan perjanjian itu, kedua-dua diktator telah berkongsi wilayah apabila Hitler menyerang dan menawan Poland seminggu selepas perjanjian ditandatangani. Sepanjang tempoh dua tahun Jerman dan Soviet Union bersahabat, sehinggalah Hitler menyerang Russia pada Jun 1941.

Sebelum Jerman menyerang Soviet, rejim itu pada 18 Jun 1941 telah menandatangani perjanjian persaudaraan dan saling tidak-menyerang (non-aggression) dengan Turki. Beberapa hari kemudian Jerman berjaya menawan beberapa kawasan Soviet. Dengan liciknya, Turki telah berjaya menjadi pengimbang kepada kuasa-kuasa besar dalam Perang Dunia Kedua dengan kelebihan geo-politiknya dan kelicikan dalam rundingan mereka mencipta situasi menang-menang.

Cukai yang menekan rakyat Turki

Parti Rakyat Republikan (CHP) adalah sebagai parti tunggal selepas Turki diisytiharkan sebagai Republik pada 1923. Sebagai pewaris Kemalisme ia mula menyebarkan propaganda penyeluruhan Turk (pan-Turkic) sebagai alasan atas permainan mereka di pentas politik global. Bangsa Turk menjadi semangat nasionalisme Kemalisme untuk mendepani Rusia yang dipropagandakan sebagai mahu menjajah Turki (kedua-dua negara sering curiga dan berperang sejak zaman-berzaman), dan ini dijadikan justifikasi untuk kerajaan CHP menandatangani persefahaman dengan Jerman Nazi.

turki1Impak dari konflik Perang Dunia II, akses makanan menjadi terhad manakala bekalan berkurangan menyebabkan berlakunya inflasi. Bagi memulihkan pendapatan negara, pada 1942 kerajaan memperkenalkan cukai kekayaan ke atas pemilik modal, petani, dan peniaga. Kononnya cukai ini bagi menghadkan kekayaan rakyat bukan-Muslim dan bukan-Turk. Peniaga bangsa Turk dicadangkan membantu sesama Turk dan menolak perniagaan dengan Kristian dan Yahudi Turki. Akibatnya keuntungan peniaga Turk-Muslim berlipat ganda dalam keadaan bekalan terhad. Kerajaan dengan polisi ini dilihat berjaya mengangkat segelintir golongan pertengahan tetapi cukai yang dilaksanakan itu terkena semula kepada peniaga, pemodal dan petani Turk-Muslim.

Sikap gopoh dengan memperkenalkan cukai baharu dan luar biasa kadarnya (10%) dan mekanisma yang tidak rapi telah mengundang celaka kepada Inonu. Pengiraan diserahkan kepada birokrat tempatan dengan membahagikan pembayar cukai melalui keuntungan, modal dan agama. Bahkan birokrat-birokrat gagal menyusun jadual kutipan dan senarai pembayar dengan betul. Hal ini menjerut kewangan masyarakat Turki dan menjurus kepada kejatuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dahsyat.

Sistem “demokrasi” parti-tunggal (single-party rules) mencengkam rakyat, tiada ruang bersuara dan tiada semak dan imbang (check and balance). Pada zaman itu, tiada kesatuan sekerja dibenarkan, atas alasan ia menggugat kestabilan negara. Maka sudah maklum dalam sunnah alam, apabila ditekan, reaksi balas akan sama kuat atau lantunan balas lebih maha bakal berlaku.

Sentimen anti-kerajaan yang makin menghangat membawa golongan pembayar cukai Kristian dan Muslim untuk bergandingan. Untuk 14,000 pembayar cukai bukan-Muslim yang tertinggi dan gagal membayar cukai (majoritinya adalah kaum Yahudi Turki) ditangkap dan dihantar ke sebuah kem musim sejuk di Ashkale (Akale), Anatolia, adalah menakjubkan kerana kebanyakan mereka berjaya bertahan hidup. Komuniti Yahudi merasa tertekan dan takut. Mereka mengharap intervensi luar terhadap polisi dalaman Turki bagi menyelamatkan keadaan ini.

Legasi Inonu

Turki masih mundur dalam kesengsaraan rakyat mengharap nafas baharu dalam politik pasca-Ataturk. Nyawa politik kerajaan Ismet Inonu di hujung tanduk, bak retak menanti belah. Oleh kerana demokrasi adalah naluri setiap manusia. Sinar baru terus diharapkan oleh setiap rakyat ketika itu.

Inonu mungkin gagal dalam politik negara. Tetapi “penyertaan” Turki tanpa melibatkan diri secara langsung dalam Perang Dunia Kedua bukanlah sesuatu yang mudah. Terang lagi bersuluh polisi luar yang dilakar kedua-dua pemimpin (Inonu dan Fevzi) adalah sangat licik bagi menjaga kepentingan negara.

Tiada siapa tahu apa dan bagaimana hubungan Turki-Jerman boleh menjadi pulih setelah itu, apakah dengan sendirinya atau atas faktor romantisme sejarah atau kerana kepentingan bersama, sedangkan Turki telahpun bersama blok lawan, iaitu kuasa Berikat yang menentang Paksi pimpinan Hitler.

Titik inilah merupakan ikatan kuat Turki-Barat dan selangkah ke arah memanifestasikan idea Ataturk untuk menjadi barat, setidak-tidaknya pun sebahagian daripada mereka. Sesungguhnya polisi dalam negara menjadi cerminan kepada suasana luar Turki, Kepayahan dan kemunduran, kegagalan dan fobia, dan kepentingan negara adalah harga yang harus dibayar oleh Ismet Inonu atas segala kata putusnya.- Roketkini.com

Bahagian IV sebelumnya:  

http://www.roketkini.com/2014/11/16/bahagian-iv-ataturk-wujud-sepanjang-sejarah/

* Penulis adalah seorang mahasiswa sains politik di sebuah universiti di Istanbul, Turki.