Rencana

Mengapa saya memilih DAP

Saya membesar dengan bapa yang menyokong PAS dalam diam-diam (sebab beliau seorang guru di sekolah kerajaan) manakala ibu, datuk dan semua keluarga ibu semuanya penyokong tegar dacing (Barisan Nasional). Secara tidak langsung saya lebih selesa dengan lambang dacing pada waktu itu.

Belajar di pusat pengajian tinggi saya masih belum terdedah dengan politik sepenuhnya, jauh sekali mahu melibatkan diri. Saya masih selesa dengan lambang dacing dan tidak pernah langsung terganggu-gugat dengan parti haluan lain pada masa itu.

Insiden 2 September 1998 bilamana Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merupakan tanggal keramat yang akhirnya mengubah persepsi saya mengenai politik di Malaysia. Semakin kuat hati saya apabila akhbar utama rata-rata menyiarkan pembabitan kononnya Anwar Ibrahim adalah seorang “peliwat yang terbabit dalam pelbagai aksi seks lucah”.

Peristiwa politik yang saya kira amat “dahsyat” sekali, bukan saya sahaja yang terkesan dan bangkit, tetapi sebilangan besar rakyat Malaysia.

Mengapa DAP?

Ya, mengapa DAP? Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya umum pada saya baik kawan, keluarga juga lawan?

Jawapan dari saya pula, mengapa tidak boleh DAP? Biarpun saya amat terkesan dengan pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional terhadap Anwar Ibrahim, saya lebih tertarik dengan perjuangan DAP, lantas membuka pintu hati saya untuk menjadi ahli DAP.

DAP juga berjuang untuk rakyat. DAP juga membela semua bangsa. Bukan hanya kaum Cina tetapi Melayu, India, Pribumi Asli, Sabah dan Sarawak dan “asalkan kita semua rakyat Malaysia” DAP tidak pernah menolak untuk membantu selagi mampu.

Ya, pemimpin DAP Lim Guan Eng telah membuktikannya; bagaimana beliau dipenjarakan kerana membela seorang nenek Melayu yang cucunya telah dirogol oleh seorang pemimpin politik, dan sejarah ini tidak boleh dipinda. Mendiang Karpal Singh pula terkenal dengan politik yang berprinsip dan selalu berdamping dengan rakyat.


anida1Mereka berjuang demi rakyat

Bukan omongan kosong dan bukan juga rekaan semata-mata, sikap sebenar kebanyakan pemimpin DAP berjuang demi rakyat adalah sikap rendah diri mereka yang benar-benar menarik saya untuk bergiat dalam DAP.

Mereka tidak perlu sebarang protokol untuk berjumpa rakyat. Mereka tidak sukar untuk didekati, dan berceritalah apa sahaja, pasti mereka sedia untuk mendengar. Seterusnya mereka akan cuba menyelesaikan dengan sejujur mungkin.

Saya seorang insan yang sangat hijau dalam perjuangan DAP. Apalah sangat diri saya jika dibandingkan dengan ahli-ahli lain yang telah lama bergiat sejak awal penubuhannya. Jika dibandingkan dengan saudara Lim Kit Siang, saudara Lim Guan Eng serta Datuk Ngeh Koo Ham dan saudara Kulasegaran, malah pemimpin yang lebih muda seperti saudara Nga Kor Ming dan saudara Tony Pua, tiada apa keupayaan saya untuk berada bersama-sama dalam kelompok mereka.

Namun saya tetap peluang untuk bersama mereka sewaktu pilihanraya kecil Teluk Intan 2014 apabila Ahli Parlimen DAP saudara Seah Leong Peng yang juga merupakan majikan saya meninggal dunia. Saya terlibat secara tidak langsung dalam kempen ini, dan telah membuka mata saya lebih luas berkenaan kerendahan hati pemimpin DAP.

Mereka bekerja keras untuk parti, perjuangan yang bukan sekadar mainan di bibir sahaja. Mereka mendekati rakyat dengan cara yang amat mudah sekali, iaitu buang protokol dan ketepikan pangkat, asalkan mudah bergaul dengan rakyat pelbagai kaum.

Saya melihat sendiri, bagaimana layanan pemimpin DAP pada rakyat. Rakyat adalah umpama majikan manakala wakil-wakil rakyat yang dipilih pula adalah pelaksana kepada rintihan, masalah dan kesempitan masyarakat. Lantas saya jadi kagum. Kagum yang amat sangat.

Memang sudah ada pun dan akan terus ada orang yang mengherdik saya kerana kata-kata ini. Namun ini pengalaman saya secara peribadi. Saya melihat dan mengalami sendiri keikhlasan pimpinan DAP. Biarlah apa orang kata, saya tahu apa yang benar, apa yang palsu.

Kesungguhan ahli-ahli serta para pemimpin DAP untuk memastikan Dyana Sofya yang menjadi calon muda DAP menang dalam PRK Teluk Intan amat tinggi. Saya melihat sendiri demi wadah, semua ahli dan pemimpin yang berkempen serta bertugas bermati-matian memastikan calon DAP – wanita, muda, Melayu – mesti dimenangkan. Ini sekali gus menolak dakwaan serta dakyah bahawa DAP adalah parti untuk kaum Cina.

Kawan yang hilang datang berganti

Awal pembabitan saya dalam parti DAP saya belum menemui sebarang kelainan pada mata mereka yang mengenali saya. Namun semakin saya aktif bersama DAP semakin tidak dapat dibendung maklumat bertali arus sampai ke telinga handai sahabat, rakan dan taulan.

Ada yang menerima perjuangan saya bersama DAP sebagai satu perjuangan generasi baru yang dahagakan politik jujur, amanah jua bertanggungjawab. Tidak kurang juga yang jengkel dengan keputusan saya sehingga enggan langsung berhubung dengan saya, malah membuang saya dari senarai nama kawan di facebook.

Saya hilang sebahagian kawan di zaman persekolahan dan pengajian tinggi semata-mata kerana parti politik yang saya pilih. Biarpun ketika zaman persekolahan kami telah berjanji untuk berkawan sampai bila-bila, saya “dibuang” kerana berbeza wadah politik sahaja.

Saya tidak pernah gusar kerana hilang kawan-kawan seperti itu kerana ia terus datang berganti tanpa henti. Terima kasih saudari Wing Shu Qi, Dyana Sofya, Wong May Ing, Yeo Bee Yin, Lee Kee Hiong, Kasthuri Patto, Teo Nie Ching dan ramai lagi kerana menerima kehadiran saya sejak PRK Teluk Intan sehingga kini.

Terima kasih juga kepada saudara Lim Kit Siang dan saudara Lim Guan Eng kerana menjadi pemimpin yang amat disenangi dan tidak pernah lupa untuk menyapa saya di setiap majlis di mana kami bertemu.

Ingin saya tegaskan di sini, biar apa pun saluran yang saya pilih, matlamat saya adalah untuk berjuang demi rakyat. Untuk itu, saya tetap yakin dengan DAP sebagai pilihan saya. – Roketkini.com

* Penulis adalah Penolong Setiausaha Organisasi Wanita DAP Perak