Berita

Siapa ganti Najib tak penting, yang penting adalah keperluan rakyat Malaysia

SEREMBAN, 9 JULAI: Spekulasi siapa menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri tidak penting berbanding usaha memastikan keperluan semua rakyat Malaysia diutamakan dalam era pasca-Najib nanti.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, masanya telah tiba untuk semua Ahli Parlimen dan pemimpin politik yang progresif dan patriotik untuk bekerjasama bagi melaksanakan satu program bersama.

Katanya, program bersama itu penting untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara parah akibat korupsi yang menjadi-jadi, salah guna kuasa, ketidakadilan ekonomi dan runtuhnya pentadbiran baik.

Menurutnya, program bersama itu untuk “Selamatkan Malaysia” daripada menjadi negara parah perlu menumpukan kepada beberapa agenda utama seperti:

* Memerangi korupsi dan menamatkan segala skandal kewangan seperti skandal 1MDB;

* Pilihanraya yang bersih dan adil;

* Memulihkan kembali kebebasan, keadilan dan profesionalisme institusi-institusi national yang penting, khususnya Kehakiman, Perkhidmatan Awam, Pejabat Peguam Negara, Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia;

* Memastikan pertumbuhan ekonomi, kemakmuran dan persaingan sihat;

* Menggantung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST);

* Memulihkan standard pendidikan Malaysia, sama ada di peringkat rendah, menengah atau pengajian tinggi;

* Menggalakkan perpaduan nasional, dan persefahaman antara kaum dan agama, dan toleransi; dan

* Mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

“Adakah kita ada ramai Ahli Parlimen dan pemimpin politik yang progresif dan patriotik untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara parah akibat korupsi yang menjadi-jadi, salah guna kuasa, ketidakadilan ekonomi dan runtuhnya pentadbiran baik?” soal beliau sewaktu berucap dalam mesyuarat jawatankuasa negeri DAP Negeri Sembilan di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, sikap acuh tak acuh UMNO dan BN dalam menangani keadaan negara yang genting pada masa ini amat mengecewakan rakyat.

Beliau menambah, dalam keadaan di mana pimpinan pembangkang serta ahli-ahli politik progresif serta patriotik mahu menyelamatkan Malaysia, dua pemimpin tertinggi PAS telah memberi sokongan kepada Najib dengan mempertahankan Perdana Menteri di kala beliau tertekan dengan pelbagai skandal.

Katanya, pada saat ini semua suara progresif, tanpa mengira parti atau pertubuhan, sepatutnya berusaha untuk menyelamatkan Malaysia. – Roketkini.com