Rencana

Skandal MARA: Rasuah dan kronisme, bagai isi dengan kuku

Berikutan Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama pada tahun 1965, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun melalui Akta Parlimen. Majlis amanah yang diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu diberi kepercayaan untuk “memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan”[1] dengan tumpuan khusus kepada Bumiputera dan kawasan luar bandar.

Pada tahun 2008, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan portfolionya, MARA menubuhkan sebuah anak syarikat milik penuh yang dikenali sebagai MARA Incorporated (MARA Inc) sebagai pemacu untuk menjalankan pelaburan strategik dan aktiviti komersil, khususnya menerusi pengurusan, pelaburan dan pembangunan hartanah. Sehingga kini, aset luar negara dilaporkan bernilai RM600 juta, termasuk empat hartanah di Melbourne, Australia dan tiga di London, United Kingdom.

Walau bagaimanapun, dalam usaha pengembangan mereka selama ini, MARA tidak terlepas daripada dakwaan rasuah dan salah urus yang berterusan. Sebagai contoh, kontroversi beberapa tahun yang lalu berikutan tindakan MARA membeli beberapa hartanah mahal di London, termasuk Hotel Ashley berhampiran Paddington Station, Atelier EC1, yang merupakan sebuah service apartment, serta Beaumont House, asrama pelajar di barat pusat bandar London. Selain daripada hartanah di London yang didakwa dibeli pada harga yang terlebih tinggi, MARA juga membina portfolio bangunan bernilai lebih AUD80 juta (RM230 juta) di Melbourne. Bangunan-bangunan ini kini menjadi tumpuan antarabangsa kerana keraguan yang timbul akibat penglibatan syarikat luar pesisir (offshore companies) dalam urusniaga tersebut.

Selain pembelian hartanah asing yang berkontroversi, Laporan Ketua Audit Negara 2013 telah menjumpai pertikaian dalam proses perolehan MARA yang berjumlah sebanyak RM124.55 juta. Pada tahun yang sama, dua pegawai kanan MARA, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pelajaran MARA, Datuk Dr Abdul Shariff Hamid, yang juga bekas setiausaha Kelab Umno Luar Negara, serta pengurus program Zainal Rashid Zakaria telah disabitkan atas pemalsuan berkaitan dengan tuntutan berjumlah RM304,650. Pada tahun ini pula, empat pegawai MARA didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana tuntutan perjalanan palsu yang berjumlah puluhan ribu ringgit.

Adakah skandal Dudley House hanya akibat salah faham?

Dalam skandal yang terbaru, akhbar harian Australia The Age baru-baru ini mendakwa MARA telah membeli Dudley House, sebuah asrama pelajar di Melbourne, pada tahun 2013 pada harga yang terlampau tinggi – AUD22.5 juta (RM65 juta), apabila harga pasaran untuk hartanah itu hanya AUD17.8 juta (RM51.6 juta). Jadi mengapakah MARA terlebih bayar?

Menurut The Age, pengerusi MARA Inc, Datuk Mohammad Lan Allani, ketika disoal memberi maklum balas dengan mengatakan beliau tidak boleh ingat butir-butir perjanjian Dudley House, walaupun hanya setahun lalu beliau telah melawat hartanah tersebut bersama dengan Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa serta CEO MARA Inc Dato’ Abdul Halim Rahim.

Malah, menurut satu kenyataan di laman web Konsulat Malaysia di Melbourne, rombongan MARA yang melawat ke sana telah “memeriksa hartanah penginapan pelajar di 746 Swanston dan di Dudley International House Caulfied… dua hartanah yang baru dibeli….” Tambahan kepada lawatan itu, kumpulan itu juga telah diberi taklimat berkenaan “pasaran hartanah di Australia.”[2]

Berdasarkan ini, adalah jelas pengurusan MARA sedar sepenuhnya mengenai urusniaga tersebut. Malah, dalam satu sidang akhbar yang diadakan sehari selepas berita itu dilaporkan dalam The Age, pengerusi MARA Tan Sri Annuar menjelaskan bahawa mereka tidak menganggap harganya terlalu tinggi, dan sebenarnya percaya harga tersebut “di bawah kadar pasaran.” Jika benar begitu, maka terdapat kemungkinan pengurusan MARA telah disalah-maklum, atau kajian terperinci tidak dilakukan dengan baik meskipun melibatkan urus niaga yang sedemikian besar.

Namun begitu, alasan ini tidak munasabah kerana gagal menjelaskan mengapa satu bayaran berjumlah AUD4.75 juta (RM13.7 juta), yang secara kebetulan merupakan perbezaan antara harga yang dibayar oleh MARA dan nilai pasaran hartanah tersebut, telah dibuat sebagai “bayaran pengenalan dan perundingan” melalui syarikat luar pesisir di Singapura. Malah, pendedahan oleh The Age itu memetik pemaju Dudley House, iaitu Peter Mills dan Chris Dimitriou, sebagai mengesahkan bahawa bayaran AUD4.75 juta itu merupakan sogokan untuk pegawai Malaysia.

Oleh itu, tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa skandal Dudley House semata-mata berpunca daripada salah maklumat atau ketidakcekapan. Sebaliknya, adalah jelas bahawa rasuah dalam bentuk sogokan dan pengubahan wang haram telah berlaku.

Rasuah yang berlaku dalam MARA jelas berpunca daripada kronisme yang telah sebati

Pada hari ini, Rasuah dan kerajaan Malaysia sudah hampir sinonim, dan ini tidak menghairankan apabila hampir semua dana kekayaan kerajaan dan agensi-agensi pelaburan dikuasai oleh kroni dan ahli politik yang terkait dengan Umno.

Sebagai contoh, dalam kes skandal Dudley House, pengerusi anak syarikat MARA yang terbabit, Datuk Mohammad Lan Allani, juga seorang ahli politik Umno dari Sabah yang merupakan bekas ADUN Sulabayan.

Ini menimbulkan persoalan sama ada pelantikan Lan Allani mempunyai kaitan dengan hakikat bahawa Datuk Seri Shafie Apdal adalah menteri yang menjaga MARA. Hal ini kerana Shafie juga Ahli Parlimen Semporna, yang merangkumi DUN Sulabayan. Selain itu, Shafie juga ketua bahagian Umno Semporna, di mana Lan Allani pernah berkhidmat sebagai naib pengerusi dan bendahari.

Sementara itu, Majlis MARA, iaitu badan pengurusan tertinggi agensi terbabit, juga didominasi oleh Umno, di mana enam daripada 11 anggota Majlis merupakan ahli aktif Umno manakala lima yang lain adalah kakitangan awam. Sepertimana kita tahu, majlis MARA juga dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, iaitu Ahli Umno Parlimen Ketereh, Kelantan.[3]

Bagi empat pengarah MARA Inc, iaitu anak syarikat yang terlibat dalam skandal Dudley House, dua daripada mereka adalah ahli aktif Umno manakala dua lagi adalah kakitangan awam.[4]

Malah, broker yang menguruskan perjanjian Dudley House, Erwan Azizi, yang dilaporkan sebagai “penggemar kereta Porsche,” mempunyai kaitan dengan Umno melalui peranannya sebagai Pengarah di Biosis Bhd, sebuah syarikat yang dipengerusikan oleh timbalan ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.[5] Erwan juga anak kepada Dato’ Azizi Yom Ahmad, seorang pemaju-bersama Dudley House.

Keperluan untuk kebertanggungjawaban dan ketelusan

Adalah jelas tiada ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses pengurusan MARA, walaupun agensi tersebut merupakan pemegang amanah berbilion ringgit wang rakyat. Ini adalah disebabkan hakikat bahawa MARA, sepertimana kebanyakan agensi kerajaan yang lain, dikawal dan dikuasai oleh pertalian jahat antara penaung, kroni dan ahli politik.

Apabila agensi kerajaan dan ahli perniagaan bersekongkol dalam jaringan politik, tidak ada keraguan bahawa keputusan yang dibuat akan dipengaruhi oleh kepentingan-kepentingan tertentu. Skandal Dudley House hanyalah satu contoh klasik urusan sedemikian, di mana urusniaga dikendalikan oleh kroni dan ahli politik Umno yang mempunyai kuasa ke atas berbilion-bilion dana kerajaan.

Oleh kerana MARA ditubuhkan di bawah Akta Parlimen, kebertanggungjawaban perlu dikembalikan kepada rakyat. Sebagai permulaan, keahlian Majlis MARA harus dibentuk daripada gabungan seimbang ahli politik daripada kedua-dua pihak, kakitangan awam dan profesional bukan-partisan. MARA juga perlu bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukannya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Sekiranya tiada langkah tegas dan pantas diambil untuk memastikan ketelusan dan kebebasan tadbir urus MARA dan agensi kerajaan lain, skandal rasuah dan korupsi dana awam akan terus melanda negara kita. – Roketkini.com

 

[1] http://www.mara.gov.my/pengenalan-sejarah

[2] http://www.kln.gov.my/web/aus_melbourne/e2014/-/asset_publisher/ME2g/blog/majlis-amanah-rakyat-mara-working-visit-to-melbourne-australia?redirect=%2Fweb%2Faus_melbourne%2Fe2014

[3] http://www.mara.gov.my/ahli-majlis-mara

[4] http://marainc.my/marainc/board-of-directors/

[5] http://www.biosis.com.my/biosis/main.php?id=6&master_cat=1

* Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera manakala Steven Sim adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam