Berita, Isu Semasa

DAP Johor bantu orang kampung baikpulih surau

 

KULAI, 10 JULAI: Walaupun bukan projek besar-besaran, DAP Johor rasa gembira dapat membantu umat Islam di sebuah kampung di sini membaikpulih sebuah surau.

Melalui projek Impian Johor, para sukarelawan yang diketuai Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching bersama penduduk Kampung Seri Sempurna, Bukit Batu di sini, telah sama-sama bergotong-royong membaiki serta mengindahkan surau tersebut.

“Prinsip DAP adalah membantu sesiapa saja yang memerlukan bantuan, tanpa mengira kaum dan agama, terutama mereka yang sudah berkali-kali meminta bantuan kerajaan tetapi dipandang sepi,” ujar Nie Ching.

Menurut timbalan pengerusi surau, Zaidan Abu Baka, pihaknya telah berulang kali memohon bantuan Pejabat Daerah Kulaijaya, Jabatan Agama Islam Kulaijaya dan Majlis Agama Islam Negeri Johor bagi mendapatkan peruntukan bagi membaik pulih surau tersebut, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

Sehubungan itu, katanya, pihak surau tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menerima bantuan tenaga kerja sukarelawan Impian Johor.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Dewan Dewan Undangan Negeri Johor Jaya, Liow Cai Tung; Adun Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun Pengkalan Rinting, Cheo Yee How; dan Mahdzir Ibrahim sebagai ketua projek Impian Johor. – Roketkini.com