Berita

Anak muda makin selesa dengan DAP, Pak Samad mahu ruang dibuka untuk golongan muda

SHAH ALAM, 11 JULAI: Lebih 100 orang, kebanyakannya golongan muda, hadir majlis Buka Puasa Bersama Anak Muda yang dianjurkan oleh DAP cawangan Bandar Utama, Selangor di Dewan Melati di sini malam tadi.

Majlis berbuka puasa itu antara lain bertujuan mendekatkan golongan muda dengan DAP. Sesi soal jawab ringkas bersama ahli muda DAP yang berkongsi pandangan mereka sekitar isu siasah dan pengalaman penglibatan mereka dalam parti politik.

Antara yang ditampilkan adalah Penyelaras Impian Kelantan, Syefura Othman atau Rara; bekas calon DAP Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud; Penolong Setiausaha DAP Cawangan USJ, Normiswary Ramli;  Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Syerleena Rashid, dan Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Shakir Ameer.

Hadirin juga menikmati tayangan dokumentari pendek tentang Impian Kelantan yang merupakan inisiatif Impian Malaysia DAP dengan kerjasama beberapa NGO Kelantan untuk membantu mangsa banjir di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Rara serta Yeo Bee Yin, menjemput 'tetamu' yang berdemonstrasi di hadapan dewan untuk menyertai majlis berbuka.

Rara serta Yeo Bee Yin, menjemput ‘tetamu’ yang berdemonstrasi di hadapan dewan untuk menyertai majlis berbuka.

Sedikit gangguan sebelum majlis bermula ekoran demonstrasi yang terdiri daripada beberapa orang yang menggunakan pembesar suara, tetapi ia tidak menghalang orang ramai memenuhi dewan. Malah, Rara serta Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin, menjemput mereka untuk menyertai majlis berbuka.

Hadirin diberi kejutan gembira dengan kehadiran tokoh veteran, Sasterawan Negara, A. Samad Said, yang baru saja menjadi ahli DAP.

Pak Samad dalam ucapan ringkasnya menyentuh peri pentingnya golongan muda diberi ruang dalam pentadbiran negara.

“Pemerintahan negara hari ini selesa di tampuk kuasa dan tidak mahu lepaskan kuasa. Dalam dunia demokrasi perlu ada perubahan untuk perbaiki situasi. Oleh itu kelompok lama perlu berjuang bersama-sama untuk buka ruang kepada anak muda,” katanya.

Beliau juga menyentuh kegusarannya tentang gejala samseng, yang baginya, mereka yang mahu kepada sikap ganas dan sifat samseng adalah golongan yang sudah tidak dapat 3berfikir secara waras lagi, dan hanya tahu aksi kekerasan.

“Kita selalu dimomokkan dengan perkauman kononnya orang Melayu sedang terancam. Macam mana? Siapa di atas kita selama 6 dekad? Siapa jadi Perdana Menteri? Siapa menteri? Siapa polis? Bukankah orang Melayu? Bererti enam dekad kepimpinan itu gagal dan perkauman dijadikan modal setiap kali kempen pilihanraya.

“Saya yakin DAP satu-satunya parti yang belum tercemar. Kita tak pernah dengar DAP rasuah. Kita sentiasa melihat DAP waras. Kita tidak melihat kecinaan walaupun induknya cina. Sedangkan dalam siasahwan Melayu sungguh terasa Melayunya. Kita jangan jadi seperti mereka,” tambah beliau.

Antara tetamu yang turut menyertai majlis berbuka puasa itu adalah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Ketua DAPSY Teo Kok Seong, dan ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran. – Roketkini.com