Wawancara

Apa yang anda ingin tahu tentang DAP tapi segan untuk bertanya: Suara anak muda DAP

  1. Apa cabaran utama anak muda hari ini?

shakirShakir Ameer, Ahli Jawatankuasa Sosialis Muda (DAPSY) Kebangsaan:

Saya sendiri adalah bekas pelajar, saya faham sedikit sebanyak beban pelajar. Mereka selalu tidak cukup duit. Selepas habis belajar pula susah cari kerja. Setelah akhirnya dapat kerja pertama, gaji rendah. Kerja pertama saya bergaji RM1,000. Saya tinggal di Shah Alam dan ulang-alik ke tempat kerja di Bukit Jalil. Dengan kos hidup tinggi, anak muda terbeban. Beban ini bukan dihadapi oleh satu-satu komuniti tapi semua anak muda di Malaysia. Hal ini sepatutnya dipertimbangkan oleh kerajaan dalam dasar untuk membantu anak muda. Tapi apa yang terjadi hari ini seperti yang kita tahu, dengan pengenalan cukai dan kos sara hidup semakin tinggi, tiba-tiba ada VIP tertentu rasuah. Skandal rasuah yang memalukan negara dan membuat rakyat marah. Suara anak muda tidak mendapat tempat. Sudah 5 tahun saya jadi ahli DAP dan saya dapati dalam parti ini suara anak muda didengar.

 

  1. Sebab apa saudari pilih untuk berada dalam parti politik

syerleenaSyerleena Rashid. Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang:

Di Pulau Pinang baru-baru ini, ada puak bakar bendera DAP, caci ahli majlis bandaraya. Di Johor ada insiden samseng. Hal seperti ini bercanggah dengan sistem demokrasi dan ibarat memperlekeh Perlembagaan Malaysia. Tahun 1998 merupakan detik di mana anak-anak muda, rakyat Malaysia keseluruhannya, sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan negara kita. Anwar dipenjarakan dan kes fitnah bermula. Di situ bermula reformasi dan insiden-insiden yang membawa kita kepada situasi politik hari ini. Pagi selepas keputusan PRU13, saya seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain berasa sedih kerana kita tidak berjaya menukar kerajaan. Kita terlalu hampir. Ada sesuatu yang tidak betul. Saya fikir, apa yg saya boleh buat untuk ubah hala tuju negara ini? Jadi saya fikir saya perlu ambil inisiatif. Saya dan anak muda lain adalah suara perubahan. Kita tidak boleh berdiam diri.

 

  1. Kenapa pilih DAP untuk perjuangkan hak rakyat?

miswaryMiswary Ramli, Penolong Setiausaha DAP Cawangan USJ, Selangor

Sebelum jawab saya nak petik Perdana Menteri Najib Razak dalam ucapannya yang memetik  3 ciri orang munafik; bila bercakap dia berbohong, bila berjanji dia mungkiri janji, bila diberi amanah dia pecah amanah. Najib sebelum ini kata tak kenal Saiful, tapi kemudian kita dapat tahu mereka ada gambar bersama. Kedua, Najib sebelum PRU13 berjanji harga minyak tak naik. Minggu lepas baru saja naik. Najib mungkir janji. Yang ketiga, isu 1MDB yang ibarat kita beri amanah tapi dia pecah amanah. Jadi rasanya ucapan Najib itu ditujukan untuk dirinya sendiri. Kenapa saya pilih DAP untuk perjuangkan hak rakyat adalah soalan yang selalu ditanya setiap kali saya balik raya. Sebagai muslim, bagi saya, sebelum buat sesuatu kita kena tanya, kita kena ada maklumat dan fakta. Inilah yang akan jadi asas untuk buat pilihan. Bukan pilih dulu baru cari fakta. Dalam banyak kebencian terhadap UMNO, ada satu yang saya tak boleh maafkan; perkauman. Sedangkan Islam sendiri menentang perkauman. DAP ada nilai orang Islam; mereka tolak perkauman.

 

  1. Apakah cabaran dan dugaan telah hadapi selama berada dalam DAP?

dyanaDyana Sofya, bekas Calon DAP Teluk Intan:

Saya lahir dalam keluarga UMNO. Saya masuk UiTM, universiti yang dikhususkan untuk bumiputera. Junior saya bagi tahu macam-macam tenaga pengajar UiTM katakan tentang saya apabila saya masuk DAP.  Ada kawan-kawan yang baru tangkap gambar dengan saya, muat naik di laman sosial, tapi mereka sudah dicemuh. Masa saya mula masuk DAP saya sudah jangkakan hal-hal seperti ini. Tapi cemuhan sebegitu tak sepatutnya lunturkan semangat saya untuk terus berjuang. Saya ingin berkongsi empat perkara untuk hadapi cemuhan: 1) Kekal di landasan dan niat asal untuk perjuangkan tanah air. 2) Fokus dalam perjuangan dan tak mudah patah semangat. Kita tengok mereka yang terlibat dalam reformasi, sampai hari ini mereka terus berjuang untuk membina Malaysia yang mereka impikan. 3) Berjiwa besar, bukan kepala besar. Jika ada maklum balas negatif, kita kena terima dan perbaiki. 4) Cari kawan-kawan. Kita tak boleh berjuang sendirian. Dalam DAP saya ada ramai kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan.

 

  1. Apa yang boleh lakukan setelah anda sertai DAP?

photoYoung Syefura Othman, Penyelaras Impian Malaysia:

Saya terlibat dalam aktivisme dan menyertai komuniti seperti SAMM dan Dapur Jalanan. Ia adalah sesuatu yang saya percaya dan saya perlukan platform yang lebih luas. Prinsip-prinsip dalam DAP sesuai dengan saya jadi saya sertai DAP. Kemudian saya mula terlibat dalam Impian Malaysia. Saya ke Sarawak bersama sukarelawan lain masuk pedalaman untuk membantu dari aspek kemudahan asas. Sejak dimulakan pada 2013, lebih kurang 30 projek di bawah Impian Sarawak. Kemudian kita luaskan ke negeri-negeri lain termasuklah Sabah, Pahang, dan Kelantan. Di Pahang kami ke Kampung Tual membina kompleks tandas untuk Orang Asal. Pelbagai kritikan kita terima. Tapi kita percaya tidak adil kita selesa di bandar dan abaikan mereka di pedalaman. Impian Kelantan pula diwujudkan selepas banjir tahun lepas. Pelbagai NGO dan parti politik hulurkan sumbangan. DAP salah satu. Kita wujudkan gabungan Impian Kelantan untuk beri bantuan bukan saja makanan tapi juga bantu bina rumah. Sebelum Ramadan, di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang, sebanyak 45 buah rumah berjaya disiapkan. Ia adalah misi kemanusiaan dengan mengabaikan perbezaan politik. Di Kampung Manik Urai kita beri rawatan percuma. Di Kuala Krai pula kita bantu bina gerai. Impian Kelantan akan diteruskan lagi selepas hari raya di Sungai Mas dengan sasaran membina 40 buah rumah.

Kita bukan kerajaan, tapi kita cari dana dan belanjakan untuk kepentingan masyarakat. Kenapa saya cerita pasal Impian Malaysia? Inilah apa yang ditawarkan DAP. Kita orang muda, tak ada duit, kita sumbang tenaga.  Saya harap anak muda sertai Impian Malaysia kerana ramai di luar sana yang perlukan bantuan kita. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web Impian Malaysia dan sertai sendiri aktiviti yang kita anjurkan dan tengok sendiri bagaimana duit dari sumbangan derma orang ramai itu kita gunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Kita semua tahu kita tak boleh harapkan kerajaan yang seharusnya bertanggungjawab dalam semua ini. – Roketkini.com