Berita

PAS mahu tanding kesemua 59 kerusi DUN Perak pada PRU14?

IPOH, 11 JULAI: DAP menghormati rakan-rakan PAS yang masih meneruskan perjuangan menentang Barisan Nasional tetapi menolak mereka yang mahu memecahbelahkan pembangkang untuk memberi nafas baru kepada rejim BN.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata, rakyat sedang menanti pembangkang kembali mengambil alih kerajaan Perak melalui pilihanraya untuk membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman kerajaan BN.

Namun, katanya, aspirasi dan harapan rakyat negeri Perak bakal dihancurkan oleh pemimpin seperti Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang didakwanya berniat jahat serta bersikap tamak.

Menurutnya, Razman membuat provokasi dalam laman Facebooknya kira-kira jam 1 pagi tadi dengan menyatakan: “Mungkin PAS Perak akan bertanding 59 kerusi dalam pru 14. Menuruskan perjuangan Nabi saw”.

“Saya tidak tahu sama ada kenyataan yang dibuat oleh beliau itu adalah setelah berunding dengan PAS Pusat. Walau bagaimanapun, saya juga terpanggil untuk menyentuh tentang keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama di dalam isu hubungan dengan DAP.

“Dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Julai 2015, Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mahu mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR.

“Kenyataan Haji Razman untuk PAS bertanding di 59 kerusi DUN Perak juga melibatkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti PKR. Jadi, bagaimana pula PAS boleh mengekalkan hubungan tahaluf siasi dengan PKR?” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam PRU12 pada 2008, PAS Perak bertanding 20 kerusi dan menang 6 kerusi. Dalam PRU13 pada 2013, PAS Perak bertanding 22 kerusi tetapi hanya menang 5 kerusi.

“Pada pandangan saya kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak itu adalah berniat memenangkan BN di Perak dalam PRU14. Saya tidak nampak semangat perjuangan yang sebenar untuk menumbangkan BN yang zalim di negeri Perak,” tambah beliau. – Roketkini.