Rencana

Berani bererti sanggup tolak perkauman

Oleh Dyana Sofya

Pada hari Sabtu yang lalu kita dikejutkan dengan kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan keganasan dan kerosakan harta benda bernilai RM70,000. Sehubungan dengan itu, satu lagi kekecohan berlaku pada Ahad malam di Plaza Low Yat sehingga menyebabkan lima orang cedera termasuk dua anggota media.

Laporan beberapa media mengatakan insiden ini bermula apabila seorang individu didapati mencuri telefon bimbit dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa, dan dilepaskan. Sejurus itu, individu terbabit datang semula bersama rakan-rakannya dan menimbulkan kekacauan di dalam Plaza Low Yat.

Pihak yang tidak bertanggungjawab pula menyebarkan pelbagai khabar angin melalui sosial media dan meniup api perkauman di dalam insiden ini sehingga membawa kepada situasi penuh beremosi.

 

Budaya samseng

Saya mengutuk keganasan yang berlaku di Plaza Low Yat. Ini merupakan contoh penularan budaya samseng di kalangan anak muda. Hanya dengan isu satu telefon bimbit berpuluh anak muda turun ke Low Yat menggunakan keganasan untuk membuat sesuatu tuntutan yang tidak pasti. Budaya samseng yang menular di kalangan anak muda jika tidak dibendung mampu membawa kepada bahana yang lebih besar. Masakini budaya samseng berada di mana-mana, di jalan raya, rapat umum, kancah politik, padang bola dan juga media sosial!

Ini adalah sesuatu yang amat membahayakan kerana di dalam keadaan masyarakat akhir-akhir yang mudah tersentuh dengan isu kaum dan agama, apa sahaja isu mampu menyemarakkan api perkauman. Ditambah pula dengan budaya samseng, ianya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak terkawal. Keganasan dan provokasi secara fizikal dan melalui media sosial tidak akan menyelesaikan masalah malah hanya membawa kepada lebih banyak masalah. Insiden di Plaza Low Yat ini harus dijadikan iktibar.

Anak muda diseru supaya mengawal diri dan emosi. Segala masalah dan pertelingkahan harus diselesaikan secara rasional tanpa perlu beraksi ganas, merosakkan harta benda dan meninggikan suara. Anak muda sebulat suara harus menolak budaya samseng yang langsung tidak membawa keuntungan dan fokus kepada budaya hujah dan diskusi, berfikiran-sivik  dan toleransi.

Memandangkan 70% peratus dari populasi Malaysia terdiri daripada anak muda berusia bawah 40 tahun, anak muda di tahap yang terbaik untuk mengetuai misi memupuk keamanan, penerimaan dan keterbukaan, bukannya menyimbah minyak ke dalam api.

 

Keluar dari perangkap perkauman

Saya menyeru supaya anak muda juga tidak terperangkap di dalam isu perkauman dan mengulang sejarah hitam.  Kita perlu membawa fokus kembali kepada isu besar yang benar-benar memudaratkan seluruh rakyat Malaysia seperti yang dilaporkan di media baru-baru ini dan bukannya bergaduh sesama sendiri.

Anak muda perlu menyumbang kepada keutuhan pembangunan negara bangsa dan menolak apa-apa sahaja provokasi untuk memulakan isu perkauman.

Segala tenaga ini patut disalurkan kepada mengutuhkan semangat patriotisme dan kenegaraan. Saya menyeru supaya semua anak muda Malaysia mengetuai misi untuk menyemai semangat cintakan negara secara aman untuk Malaysia milik kita bersama. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. – Roketkini.com

 

* Dyana Sofya Mohd Daud adalah Ahli Majlis Eksekutif Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan.