Berita

Politik dan dasar perkauman perlu ditolak, elak kejadian rusuhan berulang

IPOH, 15 JULAI: Punca insiden curi telefon bimbit di Plaza Low Yat memang bukan isu kaum tetapi rusuhan berikutan kejadian di kawasan membeli belah Kuala Lumpur tersebut merupakan masalah perkauman.

Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu menangani persoalan yang menjadi tumpuan rakyat – bagaimana kejadian mencuri yang sekecil itu boleh merebak menjadi isu perkauman semata-mata kerana provokasi dan pembohongan melalui internet?

“Hakikatnya, selepas negara merdeka sejak 1957, perpaduan kaum masih rapuh. Pentadbiran Barisan Nasional berdekad lamanya gagal mengukuhkan hubungan antara kaum, sebaliknya semakin regang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berpendapat bahawa masalah pemisahan antara kaum itu berpunca daripada politik dan dasar-dasar yang berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO dan BN.

Beliau berkata, sudah sampai masanya politik dan dasar-dasar berasaskan kaum ditolak untuk memberi ruang kepada dasar-dasar serta usaha yang lebih inklusif dan adil. – Roketkini.com