Rencana

“Mari menjadi rasis”

Tidak ada sesapa atau mana-mana manusia waras yang berasa seronok dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat beberapa hari lalu.

Untuk seketika Plaza Low Yat yang memang sentiasa kalut itu, menjadi punca kekalutan yang lain. Punca kekalutan yang tidak perlu dan tidak diingini sesiapa yang waras tadi.

Dan selepas kekalutan itu, ada pula tempoh sepi seketika. Itu juga bukan sesuatu yang lazim dan diingini oleh manusia waras.

Namun itulah yang terjadi – kalut yang luar biasa, kemudian kalut yang lebih dan kemudian sepi. Tidak ada mana-mana pihak yang waras mendapat keuntungan daripada kejadian tidak diingini itu.

Ketika ramai pihak berpendapat – dan menyeru – supaya kita mengabaikan naluri rasisme, saya pula – dengan apologi – menyeru: ayuh mari menjadi rasis.

Memang ada beberapa versi mengapa kekecohan di Plaza Low Yat terjadi, Di satu pihak mereka menuduh “anak Melayu” menjadi mangsa penipuan “peniaga Cina” manakala di pihak lain mereka mempertahankan hujah bahawa ada orang – kebetulan pula Melayu – cuba mencuri telefon bimbit.

Kemudian muncul watak-watak tambahan. Mereka yang dimaksudkan itu ada pelbagai cara untuk menambah perisa kepada kejadian berkenaan. Ada yang menyebarkan gambar fitnah, ada yang berucap mengapi-apikan perasaan dan bermacam-macam lagi.

Kita bernasib baik kerana di sana sini manusia waras masih ada. Kelompok inilah yang membuktikan bahawa akal yang panjang jauh lebih manusiawi berbanding lidah, tangan atau kaki yang panjang.

Isu sebenar yang berlaku bukanlah antara “Cina” dan “Melayu” tetapi antara “benar” dan “salah”. Masalahnya pada masa sama ada antara kita yang mahu ia – atau apa saja yang berlaku, waima misalnya kesakitan perut akibat terlebih makan – wajib dipandang dari sudut kaum.

Justeru, isu sepele seperti tali kasut putus atau bunga hiasan di pembahagi jalan yang layu – bagi mereka – mesti dipandang dan dinilai berdasarkan perspektif kaum.

Maka mari kita melihat segala-galanya dari perspektif kaum.

Melayu hanya akan menjadi istimewa kalau berakhlak mulia. Sama seperti kaum-kaum lain yang ada di dunia ini. Sesuatu kaum tidak mengatasi kaum lain dengan perasaan mereka memiliki kebagusan berbanding kaum lain semata-mata.

Melayu tidak mendapat sebarang keistimewaan hanya kerana mereka Melayu. Melayu yang menipu, menyeleweng, membunuh, bebal atau buta hati – misalnya – mungkin lebih hina daripada haiwan ternakan.

Seseorang manusia berbangsa Melayu seharusnya menyedari DNA yang ada pada susuk badan itu menjadikan mereka ‘bernasib malang’ kerana pada diri itu terbeban tanggungjawab yang besar.

Melayu seperti yang ditafsir di negara ini sebagai beragama juga Islam mesti menjaga adab sopan sebagai makhluk Melayu – Islam yang layak disegani.

Justeru mereka tidak boleh menghina sesuatu bangsa berdasarkan bangsa. Mereka juga perlu sedar bahawa anak Melayu itu budi bahasanya tinggi, sentiasa menghormati, tidak menipu, tidak menyeleweng, tidak bebal, tidak semberono dan tidak tidak lain yang sejenis dengannya.

Jika ada bangsa lain yang menyeleweng, biarkanlah mereka menyeleweng. Pada masa sama anak bangsa Melayu membuktikan DNA Melayu itu bukan membawa konotasi keji dan jijik berdasarkan penilaian dipersetujui secara universal.

Paling penting bangsa Melayu perlu jujur kepada diri sendiri. Melayu tidak menjadi istimewa kerana Melayunya tetapi dihormati kerana nilai baik yang dibawa dan dipertahankan.

Di Plaza Low Yat sana, sesetengah Melayu terbukti terus gagal mempertahankan diri sendiri dengan nilai yang baik. Mereka mahu menjadi Melayu yang keji dan gagal.

Syukurlah, kerana mereka yang tidak waras itu bukan majoriti. – Roketkini.com