Berita

PAS berhak lawan DAP tapi elok tumpu selamatkan kerusi sendiri

PETALING JAYA, 16 JULAI: DAP mengalu-alukan hasrat PAS untuk meletakkan calon-calon bukan-Islam, termasuk bertanding melawan DAP, dalam pilihanraya umum akan datang.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, bagaimanapun mengingatkan PAS agar lebih menumpukan kepada usaha mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya melalui undi pelbagai kaum dalam PRU ke-13 lalu.

Katanya, cadangan yang disuarakan oleh Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Mustafa Ali sebagaimana yang dilaporkan media, adalah hak demokratik mana-mana parti untuk bertanding di mana-mana sahaja.

Oleh kerana PAS secara rasmi telah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, maka tidak akan ada sebarang sokongan untuk mana-mana calon PAS dalam PRU akan datang, tambah beliau.

Sebagai Pengerusi DAP Selangor, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, jika PAS mahu bertanding melawan DAP, maka DAP bersedia menghadapi cabaran itu dalam PRU ke-14 nanti.

Menurutnya, DAP Selangor juga menimbang untuk bertanding di lebih banyak kawasan-kawasan majoriti Melayu selaras dengan iltizamnya sebagai wadah pelbagai kaum, walaupun selama ini menjadi mangsa fitnah politik perkauman.

Antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dalam pertimbangan DAP adalah:

No Kerusi DUN % Pengundi Melayu Majoriti % PAS
1 Seri Serdang 45.5% 16,251 62.9%
2 Dusun Tua 50.9% 4,701 55.1%
3 Taman Templer 50.9% 7,467 58.2%
4 Tanjong Sepat 52.0% 682 51.4%
5 Chempaka 53.1% 9,608 63.1%
6 Lembah Jaya 54.0% 8,713 60.5%
7 Paya Jaras 56.2% 5,522 57.2%
8 Meru 58.6% 9,079 62.9%

Tony menjelaskan, sudah tentu senarai muktamad kerusi yang DAP ingin tandingi akan tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan seperjuangan dalam gabungan baru pasca-Pakatan yang tidak termasuk PAS.

Beliau menambah, matlamat gabungan baru itu ialah meneruskan usaha menentang Barisan Nasional di Selangor ke arah menyumbang tenaga bagi  menjayakan usaha memenangi pentadbiran Putrajaya dalam PRU akan datang.

“DAP Selangor juga ingin menyatakan sokongan penuh kami kepada PKR dan mana-mana parti yang bertanding di Selangor yang berpegang kepada rangka kerja dasar bersama.

“Parti-parti ini sepatutnya boleh bekerjasama dalam satu gabungan yang dibina atas dasar konsensus dan semangat setiakawan demi rakyat Malaysia dalam suasana kepelbagaian kaum yang demokratik,” ujar beliau. – Roketkini.com