Uncategorized

Perutusan Aidilfitri DAP Sabah: Kukuhkan perpaduan menuju Malaysia baharu

Oleh JIMMY WONG

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh saudara-saudara kita yang beragama Islam di Malaysia dan Sabah khususnya. Sudah semesti, kedatangan Syawal merupakan hari bagi meraikan kejayaan setelah berpuasa sebulan Ramadan. Semoga Hari Raya Aidilfitri tahun ini disambut dengan meriah, kesyukuran dan penuh kegembiraan.

Sudah tentu, Syawal tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya kerana seluruh rakyat Malaysia sedang mengharungi dugaan semasa yang semakin mencabar begitu dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

Dalam musim perayaan ini, rakyat terus dibelenggu dengan isu kenaikan harga barang akibat perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan GST yang bermula April lalu. Lebih menyedihkan, 1 Julai lalu, kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen seliter walaupun harga minyak mentah dunia bagi sepanjang Jun 2015 menunjukkan penurunan dari sekitar USD66 setong sekitar USD62 setong di akhir Jun. Sudah tentu, golongan yang semakin tertekan dengan kenaikan ini adalah seluruh pengguna dan rakyat Malaysia umumnya.

Ekonomi Malaysia juga terus tertekan apabila nilai ringgit makin menyusut ke paras terendah berbanding dolar Amerika. Memetik rata-rata penganalisis ekonomi yang dilaporkan media, kejatuhan nilai ringgit ini disebabkan situasi semasa negara Greece yang disingkir dari Zon Euro dan kesan dari laporan siasatan penyelewengan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan isu wang 1MDB yang didedahkan World Street Journal.

Kontroversi melibatkan 1MDB ini juga telah mendorong penyusutan nilai ringgit sebagai prestasi matawang terburuk di Asia. Dalam teka-teki rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kemelut dan skandal ekonomi yang terpalit pada Perdana Menteri, negara pula terpaksa menanggung satu lagi isu yang dilihat telah mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar iaitu isu perkauman sedangkan ia merupakan isu yang timbul diantara seorang peniaga dan pembeli.

Sebagai Pengerusi DAP Sabah, saya ingin menegaskan bahawa perkauman merupakan barah bagi Malaysia yang memiliki keunikan masyarakat majmuk yang saling perlu memerlukan. Saya ingin menyeru kpada seluruh rakyat Sabah supaya kekalkan semangat toleransi dan sikap saling menyanyangi antara satu dengan yang lain.

Saya berasa terharu bahawa rakyat Malaysia semakin matang dan memiliki sifat toleransi yang tinggi. Sikap anti rasis dan tidak berdendam yang digambarkan oleh pemuda yang dibelasah sekumpulan yang merusuh 13 Julai lalu Patrick Lim perlu menjadi tauladan baik.

Propaganda pihak tertentu mengapi-apikan perkauman hanya bakal mendatangkan mudarat yang besar terhadap negara. Namun, saya amat yakin, rakyat Malaysia semakin matang dalam menilai sesuatu dan terus berpegang kepada aspirasi negara untuk terus maju dan sejahtera.

Di kesempatan ini, suka saya mangambil contoh yang baik untuk dicontohi rakyat Malaysia sepertimana yang dikatakan anakanda baginda Sultan Johor, Tunku Temenggong Idris; “Untuk menjadi seorang yang baik tidak bergantung kepada agama, status kehidupan, bangsa, warna kulit, pandangan politik mahu pun budaya tetapi hanya bergantung kebada bagaimana layanan kita terhadap orang lain”. Pandangan Tengku Temenggong amat wajar dijadikan contoh dan pedoman dalam pergaulan masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di Malaysia.

Selain itu, sempena dengan kedatangan Syawal ini juga, bagi Sabah, saya ingin mengajak semua melihat dan mengenang segala keperitan dan kepayahan hidup yang terpaksa ditanggung masyarakat Sabah terutamanya di kawasan pedalaman. BN nampaknya hanya berjaya membawa janji dan slogan yang tampak meyakinkan, hakikatnya, majoriti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman seolah-olah dianak tiri dari pembangunan yang wajar.

Persoalannya, adakah dalam situasi ini kerajaan mampu menangani segala tekanan ekonomi dan cabaran semasa dengan bijak? Saya yakin, pengunduran Perdana Menteri dari jawatannya amat wajar dan mungkin mampu menjadi ‘ubat penahan sakit’ buat sementara waktu. Bagi membaik pulih ekonomi semasa Malaysia. Saya ingin mengajak semua untuk berfikir dan berani untuk melakukan perubahan dalam pilihanraya akan datang.

Dihari yang mulia ini, ayuh sama-sama kita renungkan dan menanam azam baharu untuk menjana kekuatan untuk perubahan yang lebih baik buat Malaysia!

Sekian.

 

 

Ikhlas,

Jimmy Wong Sze Phin

Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu