Isu Semasa, Rencana

Selepas Hadi, Mustafa Ali pula mahu tiru suara propagandis dan tentera maya UMNO

Oleh LIM KIT SIANG

Dua hari lalu, saya terkejut apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah meniru suara propagandis dan tentera maya UMNO dengan menuduh DAP sebagai “cauvinis” semata-mata kerana DAP menuntut dihidupkan kembali pilihanraya kerajaan tempatan, yang sememangnya terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat Nasional dan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu.

Hadi seolah-olah tidak tahu bahawa pilihanraya kerajaan tempatan wujud di Indonesia, Turki dan Iran. Tak kanlah Hadi nak menuduh Presiden Jokowi dari Indonesia, Presiden Erdogan (Turki) dan bekas Presiden Ahmadinejad (Iran) adalah “komunis” dan “cauvinis” kerana mereka melaksanakan pilihanraya tempatan?

Hari ini saya terkejut apabila seorang lagi pemimpin kanan PAS, bekas Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali yang turut meniru suara propagandis dan tentera maya UMNO kononnya parti baru yang akan ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS bakal menghadapi masalah kerana ia adalah proksi DAP, dan dengan itu, orang Melayu tidak akan percaya kepada parti itu.

Sedangkan Mustafa sendiri telah mengakui bahawa label “proksi DAP” ini telah digunakan terhadap PAS apabila PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Adakah PAS pernah menjadi proksi DAP? Adakah ia menjadi sebab mengapa PAS sukar mendapat sokongan orang Melayu?

Jangan lupa bahawa pada masa yang sama, PAS telah dituduh menjadi proksi DAP oleh UMNO di kalangan orang Melayu manakala DAP dituduh menjadi proksi PAS oleh MCA dan Gerakan di kalangan orang Cina.

Malah, tewasnya saya di kerusi Parlimen Bukit Bendera (dan juga kekalahan Karpal Singh di kerusi Parlimen Jelutong) dalam PRU 1999 adalah kerana kejayaan propaganda “hitam” MCA/Gerakan, iaitu mendakwa kononnya apabila DAP bekerjasama dengan PAS, maka ia telah menjadi ejen dan alat PAS.

Propaganda MCA/Gerakan pada masa itu untuk menakutkan pengundi Cina telah mendakwa bahawa undi untuk DAP adalah undi untuk PAS dan “Negara Islam”, iaitu tidak akan ada lagi daging babi,   tiada alkohol, tiada kuil, tiada gereja, tiada karaoke, tiada sekolah Cina, tiada gincu bibir untuk wanita, semua wanita dipaksa memakai tudung, wanita cantik tidak dibenarkan bekerja dan akan berlaku hukuman potong tangan dan kaki.

Kerana propaganda ini, saya telah kalah (dan begitu juga dengan Karpal) tetapi kami tidak tunduk  kepada hujah bodoh dan pembohongan, sebagaimana kami tidak pernah berkompromi prinsip politik dan matlamat Impian Malaysia, sama ada demi habuan wang atau jawatan.

Para pemimpin DAP bukan proksi PAS sebagaimana pimpinan PAS tidak pernah menjadi proksi DAP.

Ini adalah pembohongan dan fitnah yang dihamburkan oleh ahli-ahli politik yang tidak berprinsip serta oportunis dalam UMNO, MCA dan Gerakan untuk memburukkan serta membunuh wibawa para pemimpin DAP dan PAS.

Mengapa kini Mustafa mahu menjatuhkan maruahnya ke tahap propagandis dan tentera maya UMNO untuk memburukkan serta membunuh wibawa Progresif PAS, dengan cara memindahkan label “proksi DAP” yang diberikan untuk  PAS dahulu kepada Progresif PAS, sedangkan Mustafa tahu di lubuk hatinya bahawa label-label ini tiada asasnya sama sekali, sama ada untuk pemimpin PAS atau Progresif PAS?

Politik Malaysia sudah pun kotor dan tercemar tanpa perlu Mustafa melompat masuk ke dalam lubuk politik ini dengan pembohongan dan fitnah untuk memburukkan serta membunuh wibawa Progresif PAS yang masih lagi bersamanya sebagai rakan seperjuangan PAS.

 

Walaupun Mustafa mungkin tidak bersetuju dengan Progresif PAS tentang soal prinsip dan politik Islam serta pendekatannya, beliau tidak sepatutnya mempertikaikan wibawa, keikhlasan dan integriti Progresif PAS.

Marilah kita amalkan politik yang bersih dan jujur walaupun kita sedar tanah air kita ini penuh dengan para pemimpin yang korup dan zalim.

*Kenyataan media Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, di Kuala Lumpur pada Rabu, 15 Julai 2015