Berita, Isu Semasa

Imigresen halang Tony Pua ke luar negara, tak beri apa-apa sebab

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, yang sudah membeli tiket penerbangan dan mempunyai pasport yang sah, terkejut kerana dihalang menaiki pesawat di lapangan terbang KLIA2 untuk ke Indonesia petang tadi.

Beliau mahu ke Jogjakarta untuk melihat senario seni di sana bagi Penang Arts District Project.

“Saya telah menempah tiket penerbangan ke Jogja pada jam 3.15 petang dan telah pun “checked in” tetapi apabila tiba di kaunter Imigresen, saya telah ditahan oleh seorang pegawai kanan Imigresen.

“Saya diberitahu bahawa saya tidak boleh keluar dari Malaysia atas arahan ‘orang atas’, tetapi tiada sebab dan alasan diberikan mengapa saya tidak boleh keluar dari Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, pegawai Imigresen mencadangkan kepadanya agar membuat rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, beliau hairan kerana tidak dimaklumkan apa tentang hal itu, malah beliau bukan sedang disoal siasat untuk sebarang kes yang boleh menyebabkan dihalang daripada meninggalkan negara.

“Saya hanya boleh agak-agak sahaja, mungkin ia ada kena-mengena dengan kritikan saya terhadap 1MDB…Untuk sebab-sebab yang lain, saya harap (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Zahid Hamidi boleh jawab.

“Setakat ini saya percaya, saya tidak melakukan sebarang jenayah dan apa yang apa berlaku hari ini merupakan tindakan yang melanggar hak saya sebagai rakyat Malaysia untuk bergerak bebas,” ujarnya.

Katanya, beliau akan berunding dengan peguamnya untuk melihat kemungkinan memfailkan saman terhadap kerajaan yang telah menghalangnya daripada meninggalkan negara ini tanpa sebab serta tanpa proses yang betul. – Roketkini.com