Berita

Jika hudud jadi isu PRU13 lalu, Pakatan sudah tentu kalah teruk

GEORGE TOWN, 22 JULAI: Rangka dasar bersama atau common policy framework perlu menjadi pegangan dan amalan asas untuk gerakan baru pembangkang mencapai kemenangan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, gabungan pembangkang akan tewas teruk dalam PRU akan datang jika ada komponennya melanggar atau tidak mempedulikan dasar bersama, khususnya jika ia melibatkan hudud sebagai isu kontroversi.

“Rakyat sedang menanti kelahiran gabungan baru progresif Malaysia, dan DAP akan bekerjasama dengan mana-mana kumpulan dan parti seperti PKR dan parti baru yang akan ditubuhkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB).

“Gabungan baru ini penting untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara parah akibat korupsi teruk, ketidakadilan ekonomi, dan runtuhnya pentadbiran baik,” katanya dalam dialog Citra Baru DAP: Meneroka Masa Depan Baru di sini semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menjelaskan bahawa jika pelanggaran Dasar Bersama Pakatan Rakyat berlaku sebelum PRU13 yang lalu dengan hudud sebagai isu kontroversi, keputusan pada 5 Mei 2013 sudah tentu berbeza.

Ujar beliau, keputusan yang berbeza itu akan memperlihatkan Pakatan kehilangan Selangor manakala UMNO-Barisan Nasional kembali menguasai majoriti dua pertiga Parlimen.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa undi bukan-Melayu pada PRU tahun 1999 telah memihak kepada BN kerana ia berjaya memanipulasi keadaan melalui penguasaan media dengan memaparkan pembangkang Barisan Alternatif sebagai pendokong “Negara Islam”.

Walaupun PRU 1999 dikelilingi dengan semangat reformasi di kalangan pengundi Melayu, undi bukan-Melayu yang takut dengan “Negara Islam” sebenarnya telah mengekalkan kuasa UMNO-BN.

Sehubungan itu, Kit Siang menyatakan bahawa perkara yang sama mungkin berulang dalam PRU13 lalu kerana 20% undi bukan-Melayu akan gagal diperolehi Pakatan jika hudud menjadi isu utama pada 2013.

Beliau memberi contoh, jika undi Melayu meningkat 1% tetapi undi bukan-Melayu merosot 20% dalam PRU13 (kerana isu hudud), kesannya amat buruk kepada pembangkang, khususnya di Pantai Barat Semenanjung, iaitu:

  •  Bagi keseluruhan kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat akan hanya mampu menang 21% atau 46 kerusi, dan ini bererti UMNO-BN merampas semula majoriti dua pertiga kerusi (Pakatan sebenarnya menang 89 kerusi Parlimen, dan UMNO-BN masih gagal memperolehi majoriti dua pertiga kerusi);
  • Bagi keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, Pakatan Rakyat akan hanya mampu menang 134 kerusi DUN (Pakatan sebenarnya menang 229 kerusi DUN);
  • Di Pulau Pinang, Pakatan Rakyat akan berjaya mengekalkan pentadbiran negeri tetapi dengan hanya 25 kerusi DUN (DAP 17, PKR 7, PAS 1) (berbanding 30 yang dimenangi sebenarnya);
  • Di Selangor, Pakatan Rakyat akan tewas dengan hanya menang 21 kerusi DUN (DAP 11, PAS 5, PKR 5) (berbanding 44 yang dimenangi sebenarnya);
  • Di Johor, Pakatan Rakyat akan hanya menang 4 kerusi DUN (kesemuanya DAP), berbanding 18 kerusi yang diperolehi sekarang;
  • Di Perak, Pakatan Rakyat akan hanya menang 17 kerusi DUN (DAP 14, PKR 2, PAS 1) berbanding 28 yang diperolehi sekarang;
  • Di Pahang, Pakatan Rakyat akan hanya menang 4 kerusi DUN (DAP 2, PAS 2) berbanding 12 yang diperolehi sekarang;
  • Di Negeri Sembilan, Pakatan Rakyat akan hanya menang 6 kerusi DUN (kesemuanya DAP) berbanding 14 sekarang; dan
  • Di Melaka, Pakatan Rakyat akan hanya menang 3 kerusi DUN (kesemuanya DAP) berbanding 7 sekarang.

Senario “peningkatan undi Melayu 1% – pengurangan undi-bukan Melayu 20%” – jika ia berlaku pada PRU13 yang lalu – menunjukkan bahawa walaupun DAP kehilangan banyak kerusi, PAS dan PKR yang sebenarnya kalah teruk, khususnya di Pantai Barat Semenanjung. – Roketkini.com