Berita

Dedah laporan Ketua Audit Negara, semua persoalan 1MDB akan terjawab

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Hanya dengan mendedahkan hasil siasatan awal Ketua Audit Negara terhadap 1MDB, rakyat akan dapat tahu apa yang sebenarnya berlaku terhadap dana milik kerajaan itu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, beliau yakin laporan Tan Sri Ambrin Buang dapat mendedahkan pelbagai isu berkaitan 1MDB yang belum diketahui umum, termasuk mengesahkan sama ada laporan-laporan yang disiarkan oleh laman web Sarawak Report adalah benar atau tidak.

Beliau menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya membenarkan laporan itu didedahkan kepada umum sekarang.

Dengan mendedahkan laporan tersebut juga, Tony menambah, pihak berkuasa dan rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada klip video bekas wartawan Lester Melanyi yang mengaku dibayar untuk membuat video tersebut bagi menyalahkan pemimpin pembangkang serta memburukkan imej pemilik Sarawak Report.

“Malah, tidak perlu lagi untuk kita dengar bermacam tuduhan tak berasas atau apa-apa pengakuan yang cuba dikaitkan dengan isu 1MDB. Laporan Ketua Audit Negara boleh menjelaskan segala-galanya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara adalah anggota Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) Parlimen di mana PAC merupakan badan yang turut menyiasat skandal 1MDB.

Semalam, Tony terkejut kerana dihalang meninggalkan negara apabila disekat oleh pegawai Imigresen di lapangan terbang KLIA2 sewaktu mahu ke Indonesia untuk urusan berkaitan projek seni budaya. Pihak imigresen tidak memberi apa-apa alasan terhadap tindakan tersebut.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo menjelaskan, Tony akan mengemukakan semakan kehakiman (judicial review) terhadap sekatan tersebut.

“Sudah 24 jam tetapi tidak ada sebarang penjelasan daripada pihak berkuasa mengapa Tony dihalang daripada meninggalkan negara.

“Kami akan memberi masa tujuh hari kepada mereka untuk memberi maklumbalas. Kemudian kami akan mengemukakan semakan kehakiman,” katanya.

Beliau menyifatkan perbuatan menghalang Tony daripada keluar negara itu adalah pelanggaran hak asasi serta dilakukan sewenang-wenangnya tanpa mengikut peraturan. – Roketkini.com