Berita

“Sumpah pun BN langgar, inikan pula janji…” – Jimmy Wong

SOOK, 27 JULAI: Perubahan positif masyarakat pedalaman Sabah akan bermula dari hulu Sungai Kinabatangan.

Demikian dapat digambarkan dalam Sambutan Hari Orang Asal Zon Trus Madi dan Perasmian Replika Batu Sumpah ke-6, di Kampung Mangorimot Mansiat Daerah Sook di sini Sabtu lalu dengan semangat dan sambutan mesra yang diberikan masyarakat sekitar.

Dalam ucapan perasmiannya, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin berkata, DAP sentiasa komited berjuang demi memartabat dan mengembalikan hak orang-orang asal Sabah yang telah terabai sekian lama oleh kerajaan BN.

“Sekarang DAP Sabah melalui Majlis Orang Asal DAP Sabah diketuai Dr Edwin Bosi menjalankan usaha membangkitkan kesedaran masyarakat tempatan mengenai Batu Sumpah.”

Katanya, perjanjian yang terpahat di batu sumpah merupakan komitmen dan jaminan yang diberikan kerajaan dalam pembentukan Malaysia yang menyatukan Malaya, Sabah (dikenali Borneo Utara), Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.

Namun apa yang menyedihkan sehingga sekarang jaminan yang terpahat di batu sumpah diabaikan malahan seolah-olah disorok dari pengetahuan generasi muda.

“Kalau sumpah pun mereka (BN) boleh langgar, inikan pula janji-janji manis yang ditabur. Kita boleh fikir apa lagi yang mereka boleh tipu dan sampai bila kita orang Sabah akan terus ditipu?” soalnya di hadapan kira-kira 150 hadirin masyarakat sekitar.

Beliau menyelar parti-parti tempatan yang tidak serius dan hanya muncul menjelang pilihan raya malah yang menyedihkan parti-parti itu dilihat tidak serius mempertahankan hak Orang Asal.

“DAP ada prinsip. Pimpinan DAP keluar masuk penjara, masih terus berjuang bersama DAP hingga berjaya melakukan perubahan yang besar dan positif dalam politik Malaysia.

“Di sini, sejak tahun 1963, kita dapat lihat banyak parti tempatan datang dan pergi. Tidak konsisten. Dulu ada USNO, ada UPKO, ada AKAR, tapi umpama hidup segan mati tak mahu. Mereka datang dan pergi. Masa nak pilihanraya baru nampak serius,” kata Jimmy.

Mengulas lanjut, katanya, meskipun parti-parti ini membawa imej tempatan tetapi mereka senang ‘dibeli’ oleh pihak tertentu khususnya parti pemerintah.

“Mereka senang diatur. Tidak prihatin terhadap nasib masyarakat tempatan,” ujar beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu.

Majlis yang berlangsung sederhana namun meriah semalam dianjurkan oleh Jaringan Orang Asal Semalaysia dengan kerjasama DAP Sabah dan ketua-ketua masyarakat setempat. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah, persembahan tradisional, sukan rakyat. – Roketkini.com