Berita

Muhyiddin dipecat kerana 1MDB? Wakil rakyat Johor diminta nyata pendirian

KLUANG, 29 JULAI: Ahli-ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional dan Menteri Besar Johor diminta menyatakan pendirian terbuka tentang skandal 1MDB serta pemecatan tokoh politik Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Setiausaha Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Tan Hong Pin mempersoalkan sama ada Ahli-ahli Parlimen BN Johor hanya menjadi “pak turut” kepada Datuk Seri Najib Razak sehingga tiada siapa berani berdiri bersama Muhyiddin yang mengkritik skandal 1MDB.

Katanya, kesemua 21 orang ahli Dewan Rakyat dari Johor telah diberi amanah daripada rakyat dan harus menjawab kepada rakyat dalam isu yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat termasuk warga Johor.

“Saya berasa kecewa dengan tindakan Tan Sri Shahrir Abdul Samad membela Najib dalam suatu program wawancara semalam. Selama ini beliau terkenal dengan keberanian dan kelantangan beliau berpegang kepada prinsip.

“Sehubungan itu, saya amat menaruh harapan kepada seorang lagi tokoh yang juga terkenal dengan kelantangan beliau, iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Parlimen kawasan Pulai. Adakah beliau akan terus berani dan lantang dalam mempertahankan amanah yang diberikan oleh rakyat?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri merombak Kabinet dengan beberapa perubahan. Selain memecat Muhyiddin, beliau turut melantik Nur Jazlan sebagai timbalan menteri; sekaligus menarik beliau keluar dari jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Parlimen yang sedang menyiasat skandal 1MDB.

Selain itu, kesemua Menteri yang dilihat mengkritik Najib telah digugurkan manakala Tan Sri Gani Patail yang turut menyiasat skandal 1MDB juga diberhentikan perkhidmatannya.

Menurut Hong Pin yang juga Adun Mengkibol, Najib perlu memaklumkan rakyat punca sebenar rombakan Kabinet semalam, khususnya tindakan beliau melucutkan jawatan Muhyiddin.

“Rakyat khasnya warga Johor tertanya-tanya tentang perkara ini dan mengaitkannya dengan pendirian tegas bekas TPM dalam skandal 1MDB.

“Kita akui bahawa dalam sistem tiruan Westminster yang diamalkan oleh Malaysia, Perdana Menteri mempunyai prerogatif (kuasa) untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota Jemaah Menteri.

“Bagaimana pun, isu yang harus ditekankan di sini ialah ketelusan keseluruhan proses dan rakyat berhak mengetahui sebab-sebab pemimpin yang dipilih mereka dilucutkan daripada amanah yang diberikan sebelum ini,” tambah beliau. – Roketkini.com