Rencana

Bebaskan Adam, Syukri

Dua aktivis anak muda Syukri Razab dan Adam Adli ditahan petang tadi oleh pihak polis di bawah Akta Hasutan. Penahanan itu berhubung dengan perhimpunan yang dijangka berlangsung pada esok, 1 Ogos 2015, pada 2 petang di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

DAPSY dengan ini menyuarakan sebulat suara sokongan kepada kedua-dua anak muda ini dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan penahanan Syukri Razab dan Adam Adli tersebut.

Kedua-dua mereka telah hadir di ibu pejabat polis di Dang Wangi dengan sukarela untuk mengadakan perbincangan dengan pihak polis mengenai perhimpunan esok dan ditahan sebaik sahaja ingin meninggalkan perkarangan ibu pejabat polis tersebut.

Penahanan kedua-dua aktivis ini menunjukkan kepincangan kerajaan Barisan Nasional dan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak boleh menerima sebarang suara bantahan walau telah dikritik hebat oleh mantan pemimpin negara, media dan masyarakat antarabangsa dan rakyat Malaysia sendiri.

Penahanan ini adalah suatu bentuk ancaman kepada aktivis dan ahli politik berkaitan dengan perhimpunan esok dan juga perhimpunan-perhimpunan yang akan datang.

Adakah perhimpunan aman sebegini ataupun pemimpin rasuah yang menjejaskan keselamatan negara?

DAPSY menyeru supaya pihak berkuasa dan juga pihak kerajaan untuk menghormati hak untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat milik semua rakyat Malaysia. DAPSY juga menyeru supaya pihak berkuasa tidak bersekongkol dengan pemimpin yang rasuah dan ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia juga diseru menggunakan pelbagai platform untuk bersama-sama berdiri teguh, menyuarakan sokongan kepada usaha menyampaikan suara bantahan kepada pihak kerajaan demi menyelamatkan negara Malaysia dari menuju kehancuran. – Roketkini.

*Kenyataan media Dyana Sofya,AJK DAPSY KEBANGSAAN berkenaan penahanan dua aktivis muda Syukri Razab dan Adam Adli pada Jumaat, 31 Julai 2015.