Berita

Draf kertas pendakwaan Najib: Bekas Peguam Negara perlu dedah perkara sebenar  

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Rakyat Malaysia tidak percaya dengan Peguam Negara yang baru, Tan Sri Apandi Ali, jika beliau enggan berterus-terang mengenai pemecatan Tan Sri Gani Patail pada Isnin lalu, sedangkan bekas peguam negara itu hanya perlu menunggu dua bulan sahaja lagi untuk pencen wajib pada usia 60 tahun.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pemecatan Gani adalah ganjil kerana beliau sedang bertungkus-lumus dalam siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ujar beliau, keadaan semakin meruncing apabila laporan Sarawak Report mendedahkan wujudnya satu draf kertas pendakwaan yang dikatakan disediakan oleh Gani terhadap Perdana Menteri dan seorang lagi individu.

Katanya, Sarawak Report mendakwa bahawa draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak itu mengakibatkan Gani dihentikan perkhidmatannya tiga hari lalu walaupun kontraknya sebagai Peguam Negara masih sah sehingga Oktober depan.

Beliau menjelaskan, media massa melaporkan bahawa Apandi enggan mengulas apabila ditanya wartawan tentang hal itu, dan lewat malam tadi, Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Hamzah, melalui twitter, menafikan Pejabat Peguam Negara telah mengeluarkan draf kertas pendakwaan tersebut.

Tambah beliau, pagi ini pula Apandi menyatakan draf kertas pertuduhan itu adalah palsu, dan mendakwa ia berkait dengan komplot mahu menggulingkan Perdana Menteri.

“Tetapi penafian daripada Apandi dan Pejabat Peguam Negara sangat tidak memadai.

“Gani perlu menyatakan secara terbuka sama ada benar atau tidak laporan Sarawak Report itu, kerana Gani masih dalam berada dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman.

“Tak kanlah Gani tiba-tiba hilang begitu sahaja,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tidak munasabah jika Gani diberhentikan semata-mata kerana “sebab-sebab kesihatan” sedangkan bekas peguam negara itu tidak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Tambah beliau, rakyat berhak melihat dan mendengar suara Gani untuk mengetahui sama ada tugas beliau sudah hampir siap untuk mendakwa Perdana Menteri di mahkamah atas tuduhan korupsi.

Katanya, selain pemecatan Gani, negara terus diselebungi misteri selepas Najib memecat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, daripada Kabinet.

Kedua-duanya merupakan pemimpin kanan UMNO; Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden manakala Shafie Naib Presiden UMNO.

Kit Siang turut mempersoalkan sama ada semua pemecatan yang Najib lakukan itu serta serangan dan tekanan terhadap institusi media, Parlimen serta pasukan petugas khas menyiasat skandal 1MDB mempunyai agenda tertentu.

“Adakah semua tekanan ini bertujuan menyelamatkan Najib daripada skandal 1MDB?” ujar beliau. – Roketkini.com