Berita

Demokrasi pelbagai parti mampu selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Lim Kit Siang membayangkan senario politik baru Malaysia yang tidak perlu terikat lagi dengan cita-cita sistem dua parti/gabungan tetapi sebaliknya menuju ke arah demokrasi pelbagai parti.

Hasrat Ketua Parlimen DAP itu selaras dengan perkembangan politik global di mana demokrasi pelbagai parti menjadi amalan kebanyakan negara demokrasi termasuk di rantau Asia Tenggara.

Demokrasi pelbagai parti tidak terikat kepada gabungan kekal seperti Pakatan Rakyat, Barisan Nasional atau Barisan Alternatif yang bersifat partisan (berpihak), tetapi ia merupakan gabungan pasca-pilihanraya yang bergabung atas dasar-dasar bersama untuk kepentingan rakyat.

Malah, sebelum ini Kit Siang telah menjelaskan cadangannya tidak sama serta tidak ada kena-mengena dengan apa yang dipanggil sebagai U.G. – “unity government” (kerajaan perpaduan) – yang direncanakan di antara PAS dan UMNO kerana itu merupakan pakatan kuasa politik satu kaum sahaja.

Sehubungan itu, beliau mengulangi ideanya untuk mewujudkan satu gabungan baru, kini dengan cadangan mewujudkan satu kerajaan campuran.

“Ini bergantung sama ada kita mempunyai sekurang-kurangnya 20 Ahli Parlimen UMNO dan 20 Ahli Parlimen komponen BN dari Sabah dan Sarawak yang sudi bergabung dengan 80 Ahli Parlimen DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru.

“Gabungan baru ini mampu menubuhkan satu kerajaan campuran yang baru dengan Perdana Menteri yang baru dan dasar-dasar yang baru untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara yang gagal,” katanya dalam majlis makan malam DAP Sungai Petani, Kedah malam tadi.

Tambah beliau, kesemua Ahli Parlimen tersebut perlu bersetuju bahawa agenda gabungan baru itu adalah semata-mata untuk menyelamatkan Malaysia daripada korupsi yang menjadi-jadi, ketidakadilan sosioekonomi dan runtuhnya pentadbiran baik.

“Ini bukan konspirasi tempatan atau antarabangsa untuk menjatuhkan Perdana Menteri melalui cara-cara ganas atau tidak mengikut Perlembagaan. Ini adalah usaha patriotik yang menggunakan saluran demokrasi serta menurut Perlembagaan,” ujar beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah yang berusaha mewujudkan gabungan serta kerajaan baru atas dasar Impian Malaysia, sedar bahawa ada wakil rakyat dan pemimpin UMNO serta BN yang berkongsi idea dengan beliau atas dasar bersama tersebut.

Menurutnya, sudah ada para pemimpin UMNO berjiwa sederhana yang membantah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang dilanda skandal kewangan 1MDB serta pentadbiran dan ekonomi yang lemah.

Tambah beliau lagi, ada juga kalangan UMNO yang berani mempersoalkan Najib serta konco-konconya sama ada masa depan UMNO lebih penting daripada survival rakyat dan negara.

“Persoalannya sekarang adalah, mampukah sejumlah Ahli Parlimen yang saya sebutkan itu duduk bersama untuk membentuk gabungan baru yang mempunyai Perdana Menteri baru serta dasar-dasar baru untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya.  – Roketkini.com