Berita

Kutip “derma” berbilion ringgit: Najib sama hebat dengan Obama

KULAI, 4 OGOS: Wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak akhirnya diakui benar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenyataan SPRM semalam mengakui: “Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara. Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB”.

Ini bermakna laporan Wall Street Journal yang bertajuk “Investigators Believe Money Flowed to Malaysian Leader’s Accounts Amid 1MDB Probe” edisi 2 Julai 2015 tentang hal itu terbukti benar.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching, ia juga bermakna Perdana Menteri Malaysia sama hebatnya dengan Presiden Barack Obama dalam soal kutipan dana politik.

Katanya, Barack Obama, sewaktu kempen pemilihan Presiden Amerika pada 2012 berjaya memperolehi sumbangan politik kira-kira USD715 juta (RM2.7 bilion) manakala lawannya, Mitt Romney, hanya mampu mengutip USD446 juta (RM1.6 bilion).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai menjelaskan bahawa proses kutipan sumbangan politik di Amerika Syarikat dilakukan secara telus dan boleh dipantau secara terbuka.

“Tetapi Presiden Amerika yang selalu dikatakan sebagai orang paling berkuasa dan berpengaruh di dunia pun tak mampu melakukan silap mata seperti Najib,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah beliau, nilai profesionalisme SPRM pula sudah mati dan tidak ada ubatnya lagi selepas mengumumkan bahawa RM2.6 bilion dalam akaun Najib itu adalah “derma”. – Roketkini.com