Berita

SPRM tunggu apa lagi, tangkaplah Najib, kata Gobind

KUALA LUMPUR, 6 OGOS:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah pun mengumumkan akan menyoal siasat Datuk Seri Najib Razak berhubung wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Walaupun banyak pihak mempercayai sumbangan wang itu ada kaitan dengan skandal 1MDB yang bernilai RM42 bilion, pihak SPRM telah menjelaskan bahawa wang RM2.6 bilion tersebut adalah “derma”.

Selepas pengumuman untuk memanggil Perdana Menteri, tiada apa-apa tindakan susulan dilakukan oleh badan anti-rasuah negara itu.

Sebaliknya pegawai-pegawai penyiasat SPRM pula ditangkap polis. Malah, pasukan petugas khas menyiasat skandal 1MDB – melibatkan Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan pihak polis – telah dibubarkan.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh, mempersoalkan apa lagi yang ditunggu oleh SPRM kerana ia sudah pun mengumumkan mahu menyoal siasat Najib.

“Apa lagi yang mereka tunggu?”

“Tidak ada gunanya membuat kenyataan umum jika hanya sekadar menagih simpati. Malah, SPRM juga tidak perlu takut.

“SPRM ditubuhkan mengikut undang-undang. Ia mempunyai kuasa yang luas, termasuk kuasa untuk menangkap dan menahan orang yang disyaki atas sebab siasatan.

“SPRM juga mempunyai kuasa untuk menangani mana-mana pihak yang mengganggu tugas dan tanggungjawabnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam kes Teoh Beng Hock yang hanya menjadi seorang saksi dalam kes yang membabitkan sekadar RM2,400, Beng Hock telah ditangkap dan ditahan di pejabat SPRM, dan disoal siasat sepanjang malam sehingga awal pagi.

Tambah beliau lagi, Beng Hock disoal siasat dalam keadaan tegang tanpa diberikan akses untuk mendapatkan peguam.

Selepas soal siasat itu, Beng Hock dijumpai mati di bangunan SPRM pada 16 Julai 2009.

Setelah sekian lama kes tersebut masuk keluar mahkamah, akhirnya Mahkamah Rayuan pada 5 September 2014 telah memutuskan bahawa ada orang atau beberapa orang yang telah menyebabkan kematian Beng Hock.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, SPRM tidak boleh mengkhianati amanah yang diberikan oleh Parlimen kepadanya, dan sepatutnya berani menjalankan tugas tanpa takut dan bimbang.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya menuntut SPRM supaya cakap serupa bikin. Mereka mesti membuktikan bahawa mereka adil dalam melaksanakan tugas tanpa memilih bulu,” ujar beliau. – Roketkini.com