Berita

DAP Sabah mahu bantu tingkat taraf hidup Orang Asal

SEKINCHAN, 7 OGOS: DAP Sabah komited untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asal Sabah melalui industri eko/agro-pelancongan.

Untuk menjayakan usaha itu, salah satu caranya ialah dengan melawat industri eko/agro-pelancongan bagi melihat sendiri kaedah, teknik dan pengurusan industri berkenaan.

Sehubungan itu, rombongan DAP Sabah telah berkunjung ke Sekinchan, Selangor untuk melihat usaha yang dilakukan rakan seperjuangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim, yang telah berjaya memajukan eko-pelancongan di kawasan tersebut.

Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin, juga tertarik dengan usaha di Sekinchan yang menggunakan teknologi penanaman padi sebagai sebuah pusat pengeluaran beras dua kali setahun yang terbesar di negara ini.

“Dulu orang tidak kenal tempat ini. Sebelum Pakatan Rakyat menang lagi, YB Suee Lim telah berusaha majukan ekonomi penduduk dengan eko-pelancongan. Selepas Pakatan menang di Selangor, penduduk di sini semakin maju” katanya di Pusat Khidmat DAP Sekinchan di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata ada cadangan oleh kerajaan Barisan Nasional Sabah untuk mewujudkan sebuah pusat penanaman padi di Kota Belud tetapi ia gagal dilaksanakan.

“Jadi kita amat berminat dengan perkembangan positif di Sekinchan dan mahu ia dikembangkan di Sabah, kita akan berusaha untuk memajukan ekonomi penduduk setempat di pedalaman dengan memajukan industri eko/agro-pelancongan,” ujar beliau.

Menurut Jimmy, sudah tiba masanya DAP Sabah bertindak memajukan ekonomi masyarakat Sabah terutama di kawasan pedalaman.

photo sekinchan“Sabah sangat kaya dengan sumber semulajadi yang boleh dijadikan tarikan pelancongan tetapi ramai lagi rakyatnya yang masih miskin. Kita tak boleh biarkan ia berpanjangan.

“Kita akan berusaha untuk membangunkan masyarakat pedalaman walaupun masih belum menjadi kerajaan,” ujar beliau lagi.

Menurut statistik terkini yang dikeluarkan Kementerian Pertanian, 1.2 hektar kawasan penanaman padi di Sekinchan mencatatkan penuaian sehingga 12 tan bagi semusim yang mana setiap tahun memiliki dua kali tuaian.

Selain pengeluaran beras, Sekinchan popular dengan makanan laut, pusat pengumpulan makanan laut dan industri kecil sederhana kuih tradisional.

Selain itu, para pelancong dalam dan luar negara tidak ketinggalan melihat keunikan kelip-kelip dan burung helang. Dengan kawasan melibatkan pertanian dan laut, Sekinchan terus mendapat perhatian di hati masyarakat.

Turut serta dalam lawatan DAP Sabah itu ialah aktivis alam sekitar saudara Wong Tack; dan aktivis masyarakat Orang Asal Sabah, Atama dan Adrian Lasimbang. – Roketkini.com