Berita

Halang SPRM siasat adalah satu jenayah

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Tindakan menghalang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 48, Akta SPRM 2009.

Sehubungan itu, jika polis meneruskan siri tangkapan dan gangguan terhadap SPRM, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, mengajak orang ramai untuk mengemukakan aduan kepada pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara.

Katanya, ini akan membolehkan SPRM menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM bagi menangkap anggota polis yang terbabit kerana mengganggu siasatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, siri tangkapan terhadap pegawai-pegawai SPRM oleh pihak polis nyata telah mengganggu kelicinan proses siasatan yang sedang dijalankan ke atas SRC International Sdn Bhd, sebuah bekas anak syarikat 1MDB yang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012, setelah mendapat pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) satu tahun sebelumnya.

“Saya hairan kenapa tidak ada seorang pun menteri yang menggesa pihak polis untuk membiarkan SPRM menyelesaikan siasatannya, seperti mana mereka seringkali menyuruh supaya kita rakyat Malaysia menanti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) ke atas 1MDB, selesai.

“Bukankah baik sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi peluang kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan mereka tanpa diganggu, sepertimana Setiausaha Agung UMNO Tengku Adnan Mansor semalam meminta orang ramai memberi peluang kepada Perdana Menteri,” katanya. – Roketkini.com