Rencana

Gerakan Batu Sumpah komitmen DAP untuk Orang Asal Sabah

Bulan Ogos adalah bulan yang amat bermakna kepada Sabah. Dalam bulan ini, Borneo Utara (Sabah) mencapai kemerdekaan penuhnya dari British pada 31 Ogos 1963 dan lebih kurang dua minggu kemudian bersama Malaya, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia pada 16 September 1963.

Sabah pernah membentuk kerajaan mutlak selama 16 hari. Malangnya, masih ramai generasi baharu, khususnya di Semenanjung, yang tidak mengetahui sejarah ini. Apa yang menyedihkan, kita sering mendengar orang berkata Sabah ‘masuk’ Malaysia sedangkan yang sebetulnya ialah, Sabah adalah rakan saksama yang membentuk Malaysia. Tanpa penyertaan negara Borneo Utara ini bersama Sarawak dan Singapura, maka Malaysia tidak akan wujud.

Pembentukan Malaysia hanya berjaya setelah beberapa syarat, perjanjian dan dokumen dipersetujui. Antaranya melibatkan Perkara 20 bagi Sabah dan Perkara 18 bagi Sarawak. Pada Julai 1963, Perjanjian Malaysia ditandatangani dan setelah satu pindaan dilakukan, tarikh penubuhan Malaysia ditetapkan  pada 16 September 1963.

Berdirinya Batu Sumpah Keningau

Ketika Malaysia terbentuk, masih ramai masyarakat orang asal Anak Negeri Sabah tidak dapat menerima pembentukan persekutuan tersebut. Mereka mahu kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa hak-hak mereka dihormati dan dimartabatkan. Maka, sebuah Batu Sumpah didirikan di hadapan Pejabat Tanah di Keningau pada 31 Ogos 1964 yang menyatakan jaminan kerajaan Malaysia terhadap tuntutan orang asal, anak negeri Sabah. Pembinaan Batu Sumpah ini telah dicadangkan oleh ketua Anak Negeri, Datuk G.S Sundang.

Batu Sumpah adalah ringkasan padu kepada perjanjian Malaysia yang mahu kerajaan Malaysia memberi jaminan yang terpahat kepada tiga perkara, iaitu kebebasan beragama di Sabah, kuasa kerajaan negeri ke atas tanah di Sabah, dan supaya adat dan tradisi pribumi dipelihara.

Pada Ogos tahun ini, genap 51 tahun Batu Sumpah didirikan serta 52 tahun kemerdekaan Sabah, dan 58 tahun kemerdekaan Malaysia. Namun, dalam tempoh separuh abad ini, rakyat Sabah masih dibelenggu dengan persoalan-persoalan lampau, adakah 20 Perkara dituruti dan adakah sumpah kerajaan Malaysia pada Batu Sumpah Keningau dipelihara?

Jika BN berani melanggar sumpah; saya ingin bertanya, adakah mereka juga akan berani melanggar janji?

Komitmen DAP Sabah terhadap Batu Sumpah

batu_sumpah_0209_620_413_100DAP Sabah menerima pelbagai aduan dan masalah dari masyarakat pedalaman. Antara yang menjadi isu utama sekarang ini ialah isu ‘rampasan’ tanah-tanah adat (NCR) oleh pihak-pihak tertentu yang seolah-olah mendapat restu Kerajaan BN Sabah. Selain itu, masyarakat pedalaman Sabah turut berhadapan dengan isu kerakyatan. Masih ramai anak-anak orang asal malah orang yang berusia di pedalaman masih tidak memiliki MyKad. Perkara ini telah menyebabkan hak sebagai rakyat Sabah dan Malaysia terjejas.

Disebabkan perkara ini, mereka sukar mendapat pendidikan yang sempurna, mendapatkan bantuan perniagaan atau kebajikan, mengalami masalah kesukaran mendapatkan khidmat kesihatan yang baik dan banyak lagi. Sedangkan, selama ini Sabah dibelenggu dengan isu pemberian IC Projek kepada warga asing dari Filipina dan Indonesia.

Atas kesedaran itu DAP Sabah telah melancarkan Gerakan Batu Sumpah pada bulan Ogos 2014 dan menubuhkan Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah diketuai oleh Setiausaha DAP Sabah merangkap ADUN Kapayan, Dr Edwin Bosi. DAP Sabah juga tidak ketinggalan memberi khidmat membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan pedalaman melalui program Impian Sabah yang dikoordinasikan oleh Timbalan Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Program untuk anak negeri

Melalui program-program ini, DAP Sabah telah banyak melaksanakan pelbagai projek terutamanya melibatkan pembinaan infrastruktur jalan dan penyaluran bekalan air bersih melalui projek air graviti. DAP Sabah juga telah berjaya menganjurkan beberapa forum melibatkan isu dan hak orang asal Sabah dan kini telah pun mendirikan replika Batu Sumpah keenam di Kampung Mangorimot Mansiat Daerah Sook baru-baru ini.

Dengan kerja keras DAP Sabah membantu masyarakat khususnya di pedalaman, ia sedikit sebanyak telah memberi pendedahan sebenar DAP kepada masyarakat setempat. Justeru, kehadiran DAP di kampung-kampung semakin diterima dan dialu-alukan, malah, semakin ramai masyarakat orang asal telah menyertai DAP.

Saya yakin, dengan pencapaian setakat ini, DAP Sabah bakal muncul sebagai parti pelbagai kaum yang sentiasa dicemburui musuh. Yang penting, DAP akan terus komited membangunkan pemikiran rakyat Sabah khususnya masyarakat di pedalaman. – Roketkini.com

 

*Penulis adalah Pengerusi DAP Sabah merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu