Berita

Jangan mangsakan penyiasat skandal 1MDB, kata DAPSY

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Penjawat awam, khususnya para pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak perlu tunduk kepada tekanan pihak atasan.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Teo Kok Seong, berkata rakyat mahu mereka meneruskan siasatan dengan penuh amanah supaya dapat memberi satu jawapan tentang skandal 1MDB.

Katanya, rakyat akan berdiri teguh di belakang penjawat-penjawat awam yang berani mencari kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berasa amat kesal atas keputusan pihak kerajaan yang memindahkan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob,  ketika siasatan terhadap skandal 1MDB sedang dijalankan.

“Tindakan pemindahan kedua-dua pegawai kanan SPRM tadi serta siri siasatan dan tangkapan terhadap pegawai-pegawai SPRM sebelum ini seolah-olahnya cuba menyekat siasatan SPRM terhadap skandal 1MDB,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Kok Seong yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, pemindahan secara paksa pegawai-pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri juga dilihat bertujuan menakut-nakutkan serta memberi amaran kepada semua yang terlibat di dalam siasatan skandal 1MDB.

Dengan adanya “gangguan” dan “tekanan” yang sebegini, tentulah pegawai-pegawai tidak dapat menumpukan perhatian dalam menyiasat skandal 1MDB, ujar beliau.

“Janganlah memangsakan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas mereka,” tambahnya.

wong-kah-wohSetiausaha Antarabangsa DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh, turut mengecam tindakan kerajaan itu kerana penukaran tersebut dilakukan sejurus selepas Bahri membidas tindakan penggeledahan pejabat SPRM manakala Rohaizad sudi menerima kunjungan pemimpin pembangkang dan NGO pada  Khamis lalu.

“Tindakan kerajaan ini adalah suatu percubaan untuk mencacatkan segala yang boleh dicacatkan terhadap mereka yang terlibat dalam penyiasatan skandal 1MDB,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa mereka yang terlibat dalam penyiasatan langsung terhadap skandal 1MDB telahpun dicacatkan satu demi satu, bermula dengan:

  1. Menghentikan khidmat Peguam Negara Abdul Gani Patail beberapa bulan sebelum tempoh perkhidmatannya tamat;
  2. Memindahkan keluar 4 Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) ke dalam Kabinet, yang telah melumpuhkan fungsi jawatankuasa tersebut; dan
  1. Menyiasat dan menahan pegawai-pegawai SPRM yang sedang meneliti kes 1MDB.

Kah Woh yang juga Adun Canning di Perak berkata, kejadian-kejadian seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Malah, menurutnya, pemecatan Tun Salleh Abas selaku Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim kanan sewaktu krisis perlembagaan berikutan masalah  dalaman UMNO pada 1987 pun tidak boleh dibandingkan keseriusannya dengan keadaan yang dihadapi sekarang.

Jelas beliau, dalam keadaan sekarang, badan-badan penyiasatan skandal 1MDB telah dilumpuhkan sepenuhnya oleh pentadbiran Datuk Seri Najib  Razak.

“Dengan apa yang berlaku sekarang, isu 1MDB yang pada awalnya merupakan satu isu dalaman negara telahpun menjadi satu topik yang mana memalukan nama negara kita di peringkat antarabangsa.

“Pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara serta isu-isu berkenaan telah menjadi satu topik yang hangat dibincangkan oleh penganalisa politik antarabangsa.

“Adakah kita masih mempunyai pimpinan politik dalam kerajaan yang masih mahu berdiam diri dengan tindakan-tindakan gila ini hanya demi untuk melindungi dalang sebenar isu 1MDB?” ujar beliau.

Beliau berkata, Bahri dan Rohaizad yang mendapat sokongan rakyat yang mahukan kebenaran perlu terus bersuara walaupun mereka dizalimi dengan pertukaran jabatan secara paksa itu. – Roketkini.com