Berita

Dua tahun membisu, ROS perlu lulus penubuhan cawangan DAP seluruh negara

GEORGE TOWN, 9 OGOS: DAP mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk meluluskan permohonan penubuhan semua cawangan protem DAP yang telah dikemukakan kepada ROS sejak 2013 dengan segera.

Dalam satu mesyuarat khas cawangan-cawangan protem DAP di sini hari ini, ia meluluskan resolusi ROS menjalankan tugas dan tanggungjawabnya secara profesional dan adil kepada semua pihak.

Mesyuarat khas itu tidak mahu ROS diperalatkan oleh parti pemerintah sebagai senjata politik untuk memangsakan mana-mana parti politik, khasnya DAP, dan memuktamadkan siasatan terhadap DAP yang telah berlanjutan walaupun DAP telah mengadakan pemilihan semula CEC pada 29 September 2013 seperti yang diarahkan oleh ROS.

Sehubungan itu, pertemuan khas hari ini berikrar untuk memberi komitmen penuh dan menaruh kepercayaan kepada perjuangan parti bagi membawa perubahan di Malaysia walaupun pendaftaran cawangan-cawangan protem DAP telah dilengah-lengahkan oleh ROS selama lebih dua tahun.

Mesyuarat khas tersebut yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut meluluskan resolusi berhubung skandal 1MDB serta kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, dan peranan SPRM.

Resolusi-resolusi yang diluluskan adalah:

  • Mendesak Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia memandangkan beliau telah hilang kepercayaan umum dalam isu pendepositan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau;
  • Menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan bertindak dengan tegas terhadap sebarang salah laku rasuah tanpa mengira kedudukan politik termasuk kes yang melibatkan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB untuk membuktikan bahawa mereka adil dalam melaksanakan tugas;
  • Mengutuk tindakan memindahkan dua pegawai tinggi SPRM ke Jabatan Perdana Menteri dan menggesa pemindahan tersebut dibatalkan serta memberikan kebebasan penuh kepada semua pegawai SPRM untuk menjalankan tugas mereka tanpa campur tangan politik;
  • Mendesak SPRM memberhentikan jawatan Hishamuddin Hashim, salah seorang pegawai yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock serta menyeru pihak polis mengambil tindakan terhadap Hishamuddin Hashim dan pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam kes kematian Teoh Beng Hock;
  • Menggesa pihak polis untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka secara profesional dan mengutuk tindakan polis menangkap pegawai-pegawai agensi penyiasatan yang lain khususnya SPRM yang sedang menyiasat kes berprofil tinggi melibatkan Perdana Menteri; dan
  • Mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kerajaan menggantung lesen akhbar The Edge dan menggesa kerajaan BN menarik balik keputusan tersebut yang mengancam kebebasan media dan maklumat.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke; dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari. – Roketkini.com