Budaya

P. Ramlee: Seniman, budayawan dan pendakwah

Nama P. Ramlee sememangnya tidak asing lagi bagi kita semua. Kehadiran Seniman Agung ini dalam arena perfileman negara telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam dunia seni, mahupun terhadap pembangunan masyarakat Malaysia. Sehingga ke hari ini, filem-filemnya masih menjadi tontonan dan rujukan umum.

Relevan sepanjang zaman

Hal ini kerana segala apa yang ditonjolkan dalam karyanya bukan sahaja relevan sepanjang zaman tetapi juga sarat dengan nilai dan kritikan sosial yang tajam. Ambil sebagai contoh adegan daripada filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee, di mana setelah watak Ali Baba yang dilakonkan Aziz Sattar kembali pulang dengan sebuah peti yang penuh dengan wang emas, isterinya langsung bertanya: “Dari mana kanda curi wang ini?” Dijawab Ali Baba: “Kanda bukan curi, kawan kanda kasi, da.” Lalu isterinya membalas: “Kawan kanda siapa? Kawan kanda siapa?” Dengan penuh kejengkelan, Ali Baba membidas: “Eh, engkau berapa banyak mahu tanya da?”

Tidak sangka pula, adegan daripada filem tahun 1961 ini masih relevan pada hari ini, lebih 50 tahun kemudian. Mungkin ramai yang boleh bayangkan adegan yang serupa dengan dialog berikut: “Oh, banyaknya duit ini. Dari mana Dato’ curi wang ini?” “Saya bukan curi, kawan saya derma, lah.” “Siapa kawan yang derma itu? Siapa kawan yang derma itu?” “Eh, rakyat ini, berapa banyak mahu tanya lah?”

Selain menggelikan hati kita, P. Ramlee juga seorang budayawan yang berpandangan jauh merentasi zaman. Beliau mampu secara kritis mengangkat pelbagai isu dalam masyarakatnya – baik persoalan kebudayaan, ketidakadilan sosial mahupun agama dan moral. Seringkali, karya-karyanya akan memberi peringatan akan kepincangan yang bakal menimpa masyarakat sekiranya sesuatu masalah tidak diatasi dengan segera atau jika masyarakat tidak melepaskan diri daripada takuk yang lama. Dalam konteks ini, filem bagi P. Ramlee bukan sekadar alat hiburan, tetapi turut menjadi alat untuk mendidik dan membuka minda masyarakat.

Citra keagamaan dalam filem P. Ramlee

Dalam kepelbagaian tema yang dibawa oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya, tema agama, dakwah dan moral tidak kurang pentingnya. Namun begitu, kaedah pengupasan citra keagamaan oleh P. Ramlee ini tidak mengambil bentuk yang nyata. Sebaliknya, ia lazimnya disuntik melalui simbolisme yang membawa makna yang tersirat.

Misalnya, dalam filem Pendekar Bujang Lapok, sikap Wak Mustar yang memaafkan para samseng biadab yang menolaknya di jeti perahu menggambarkan salah satu elemen moral yang dituntut dalam agama. Begitu juga dengan ketiga-tiga pendekar yang dimainkan oleh P. Ramlee dan dua sahabat karibnya, Ajis dan Sudin, yang mengembara untuk mencari ilmu. Bukankah ini merupakan “jihad” yang besar dalam agama?

Kuala Lumpur 06 May 2014. Labu (M. Zain) and Labi (P. Ramlee) with a kadi (Aziz Sattar) in the movie "Nasib Si-Labu Labi,pada tahun 1968.Recopy

Keprihatinan P. Ramlee terhadap kesenjangan kekayaan antara golongan miskin dan kaya juga terserlah dalam karyanya. Dalam filem Labu dan Labi, beliau secara tajam mengkritik golongan kaya yang menindas dan tidak ikhlas dalam mewakafkan harta kepada golongan miskin. Ini dapat dilihat melalui watak Haji Bakhil yang mempunyai agenda tersembunyi sewaktu beliau mendermakan harta kepada rumah anak-anak yatim. Kritikan terhadap sikap tamak golongan kaya turut boleh dilihat dalam filem Tiga Abdul, apabila watak Sadiq Sigaraga, seorang saudagar kaya, telah jatuh miskin akibat daripada kerakusannya. Pada penghujung ceritanya, watak protaganis, iaitu Abdul Wahub, kemudian mendermakan rumah kedai kepada anak-anak yatim, lantas menampilkan elemen kebajikan dan tanggungjawab sosial.

Kehidupan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang sangat kuat bersandar kepada unsur-unsur tahayul juga turut dikritik oleh P. Ramlee. Dalam satu adegan dalam filem Seniman Bujang Lapok, P. Ramlee memerlukan wang sebanyak RM350 untuk berkahwin, sedangkan beliau pada waktu itu sedang mengalami kesempitan wang. Lalu, Sudin memberikan Ramlee sebentuk cincin yang menurutnya memiliki hikmat. Cincin itu digunakan oleh Ramlee untuk meminta wang daripada  seorang pengurus syarikat filem yang bernama Kemat Hassan. Namun, Ramlee disergah oleh Kemat Hassan dan hanya mendapat RM5. Kecewa, Ramlee bertindak membuang “cincin hikmat” itu ke dalam longkang.

Babak ini memberi pengajaran bahawa apa sahaja yang ingin dicapai oleh manusia haruslah dilakukan dengan usaha yang keras. Penyandaran terhadap elemen-elemen tahayul bukan sahaja ditegah dalam agama, malah ia juga mampu menjadi penghadang kepada kemajuan masyarakat.

P. Ramlee sebagai pendakwah

Kepekaan P. Ramlee terhadap persoalan agama dan moral dalam filem-filemnya menjelaskan bahawa agama bagi beliau bukanlah alat untuk melemah dan memundurkan masyarakat. Sebaliknya, ia merupakan sumber untuk menggerakkan masyarakat dalam pelbagai sektor kehidupan.

Bagi P. Ramlee, agama juga bukanlah suatu alat untuk menghukum, sepertimana yang difahami oleh ramai daripada kita pada hari ini. Beliau lebih suka menampilkan citra agama yang progresif dan bertoleransi terhadap kerencaman masyarakat kita yang berlatarbelakangkan pelbagai kaum dan budaya. Alangkah baiknya sekiranya kita dapat mengiktibarkan cara pandang dunia P. Ramlee ini.

Akhir kata, P. Ramlee tidak melakukan dakwah melalui cara-cara yang biasa, umpamanya melalui penonjolan imej-imej kewarakan yang jelas lebih mementingkan bentuk daripada isi. Jika diteliti karya P. Ramlee, jelas beliau memilih untuk berdakwah melalui jenaka dan budaya popular yang halus bentuknya tetapi tajam kesannya. Isu-isu yang diketengahkan pula berkisar pada kepentingan ummah, kedaifan golongan miskin serta penindasan terhadap yang lemah. Dalam cara tersendirinya, P. Ramlee sebenarnya menzahirkan nilai-nilai agama yang sebenar.

Sesungguhnya, sumbangan P. Ramlee adalah sangat besar kepada kita semua. Walaupun sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau sebagai seorang seniman dan budayawan yang tersohor, jelas usaha-usaha beliau sebenarnya menjangkaui batasan seni dan budaya. Malah, jasa dan baktinya dalam memajukan citra agama yang berjiwa besar dan progresif juga jelas melayakkan beliau untuk digelar sebagai seorang pendakwah. – Roketkini.com

 

*Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera