Berita

Peguam Negara perlu jelas status siasatan terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Belum pun kedengaran berita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Datuk Seri Najib Razak untuk disoal siasat berhubung skandal 1MDB, beliau sendiri mengumumkan telah disahkan tidak bersalah oleh badan anti-rasuah tersebut.

Media melaporkan semalam bahawa Perdana Menteri telah mendakwa yang SPRM sudah mengesahkan “derma” yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya bukan rasuah, dan bukan dana daripada 1MDB.

Beliau dipetik sebagai berkata: “Jangan kata saya jual negara. Saya tidak akan jual negara, saya Perdana Menteri yang akan dipertanggungjawab atas apa saja yang saya lakukan. Dan saya terima (dana) pun bukan kerana saya bagi kontrak”.

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh, berkata pengumuman Najib itu sangat tidak wajar kerana ia adalah hak Peguam Negara semata-mata.

Katanya, Najib sendiri sedar beliau sedang disiasat, dan tidak patut memberi sebarang komen kerana ia akan menimbulkan persepsi sudah berlaku campur tangan tugas yang boleh memberi kesan kepada kewibawaan keputusan siasatan nanti.

“Ini adalah perkara paling asas dan Perdana Menteri sebagai pemimpin sepatutnya tahu perkara ini.

“SPRM dan Peguam Negara tidak boleh berdiam diri dalam hal ini. Sikap mereka berdiam diri akan menimbulkan lebih banyak persoalan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong menjelaskan bahawa SPRM pada minggu lalu telah pun mengumumkan akan menyoal siasat Najib berhubung  wang RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.

Dengan itu, katanya, SPRM mesti menjelaskan sama ada ia telah merekodkan kenyataan daripada Perdana Menteri, dan sama ada kertas siasatan telah dihantar kepada Peguam Negara.

“Jika belum, maka Perdana Menteri tidak boleh berkata beliau telah disahkan tidak bersalah,” ujarnya.

Gobind menuntut agar Peguam Negara memberi penjelasan sama ada beliau telah memberi kebenaran kepada Najib untuk membuat pengumuman tentang hasil siasatan tersebut.

Jika tidak, beliau mahu Peguam Negara menjelaskan kepada rakyat, dan menarik balik kenyataan Perdana Menteri, dan mengisytiharkan kepada negara bahawa siasatan belum selesai. – Roketkini.com