Berita

DAP mahu pampasan adil untuk penduduk Kampung Mutiara

GEORGE TOWN, 10 OGOS: DAP berdiri bersama penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menolak projek pembangunan di kawasan tersebut selagi pampasan adil dan setimpal tidak diberikan kepada orang kampung.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata beliau bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu yang menangani masalah itu menganggap pampasan bagi penduduk yang menetap di Lot 39 dan 40 di situ sejak lebih 50 tahun lalu adalah hak asasi yang wajib ditunaikan.

Menurutnya, penduduk kampung tersebut kini berhadapan dengan tindakan pengusiran berikutan penghakiman mahkamah bertarikh 3 Julai 2012, perintah bertarikh 20 April 2015, writ milikan bertarikh 25 Jun 2015, dan notis keluar bertarikh 9 Julai 2015.

Katanya, kemelut Kampung Mutiara, yang terdiri daripada lebih 90 unit rumah kampung telah bermula pada tahun 2007 apabila pemilik baru, Loke Leng Seak, telah membeli hartanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran seluas lebih kurang 3.5 ekar.

“Setahun kemudian, Encik Loke telah memulakan tindakan mahkamah untuk mengusir penduduk kampung tanpa sebarang pampasan kepada mereka.

“Walaupun tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, tindakan ini merupakan tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan,” kata Zairil dan Teh dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, di bawah garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mana-mana pelan pembangunan tidak akan diluluskan tanpa pampasan adil dan setimpal kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh, di Kampung Chetty, iaitu sebuah kampung berdekatan dengan Kampung Mutiara, pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah (LMC) telah diberi sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan.

“Ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara. Namun begitu, dalam kes Kampung Mutiara, sampai sekarang tidak ada sebarang permohonan kebenaran merancang yang dibuat,” katanya.

Dengan itu, menurutnya, Kerajaan Negeri memang tidak ada locus standi (hak sah di sisi undang-undang) untuk menolak atau menyekat tindakan mahkamah yang diambil oleh tuan tanah Loke.

Tetapi, katanya, ia tidak menghalang DAP untuk menuntut Kerajaan Negeri agar memastikan pampasan adil dan setimpal diberikan, dan sementara menanti pemberian pampasan itu, meminta pihak berkuasa tidak menjalankan sebarang projek pembangunan di situ.

Selain Zairil dan Teh, sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Batu Ferringhi, Ahmad Jasin; Pengerusi JKKKP Batu Ferringhi, Ismadi Abu Bakar dan wakil-wakil penduduk Kampung Mutiara.

Kehadiran Zairil dan Teh untuk berbincang serta mengadakan sidang akhbar di Dewan Giat Batu Ferringhi, Kampung Mutiara yang diuruskan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional menunjukkan kerjasama merentas parti boleh dijalin demi kebajikan rakyat. – Roketkini.com