Berita

DAP sedia dedah akaun, Najib berani ke?

GEORGE TOWN, 10 OGOS: DAP bersedia untuk mendedahkan sumbangan politik yang diterimanya kerana ia tidak ada apa-apa untuk disembunyikan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata beliau menerima cabaran Datuk Seri Najib Razak yang mahu parti-parti pembangkang, khususnya DAP, mengisytiharkan sumbangan politik sebelum beliau berbuat demikian bagi pihak UMNO.

Katanya, DAP boleh mengisytiharkan akaunnya pada kongres parti kerana memang sudah menjadi amalan biasa untuk mengemukakan semua akaun sewaktu persidangan parti.

Sehubungan itu, beliau berharap Najib tidak lari daripada menjawab segala persoalan tentang “derma” RM2.6 bilion yang diterimanya, termasuk siapa yang memasukkan wang tersebut ke dalam akaun peribadi beliau.

“Agaknya Najib ingat ini macam main guli. Awak tunjuk awak punya, saya tunjuk saya punya, Apa punya Perdana Menteri ini?

“Kami sudah tunjukkan segala-galanya. Jika mahu tunjuk, tunjuklah. Kami tak takut apa-apa pun,” katanya berucap di mesyuarat khas cawangan-cawangan protem DAP di sini semalam.

Perdana Menteri masih berdolak-dalik tentang wang RM2.6 bilion tersebut yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Sebaliknya Najib cuba mengalih pandangan dengan meminta parti pembangkang mendedahkan sumbangan politik mereka.

Sejak media antarabangsa Wall Street Journal pada 3 Julai lalu mendedahkan bahawa Najib telah menerima wang tersebut yang dikaitkan dengan 1MDB, Perdana Menteri masih belum menafikan tuduhan tersebut.

Menurut Guan Eng, DAP yang sentiasa bersikap terbuka sanggup menerima cabaran Najib, dan berharap Najib tidak lari daripada cabarannya sendiri.

“Kita boleh tunjuk sama tunjuk,” katanya.

Malah, beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, pentadbiran negeri yang diterajui DAP telah terbukti bersih dan amanah, mencerminkan amalan politik yang sihat.

Tanpa sebarang “derma” pun, Pulau Pinang berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat serta memajukan negeri tanpa rasuah dan salah guna kuasa, tambah beliau.

Katanya, Pulau Pinang juga adalah satu-satunya negeri di mana semua wakil rakyatnya perlu mengisytiharkan harta mereka sejak 2008, dan maklumat itu dipaparkan di laman web kerajaan negeri. – Roketkini.com