Berita

Anjur sidang khas untuk selamatkan Malaysia, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Kabinet diminta menganjurkan sidang kemuncak kebangsaan “Selamatkan Malaysia” yang melibatkan semua parti politik dan NGO, sebelum Hari Kebangsaan pada bulan ini.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, dalam surat terbukanya kepada Kabinet hari ini, berharap sidang khas itu dapat menghasilkan konsensus untuk menjadi rangka tindakan (blueprint) menyelamatkan Malaysia daripada menjadi negara bajingan dan negara gagal.

Katanya, negara bajingan bererti pemerintahan yang melanggar demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara dan persamaan hak.

Negara gagal pula bermakna negara yang mana rasuah menjadi-jadi, wujud ketidakadilan sosioekonomi, pentadbiran baik sudah merudum, dan perkauman semakin patah serta tolak-ansur beragama semakin terhakis, tambah beliau.

“Semua parti politik dan NGO perlu dijemput untuk menghantar wakil bagi menubuhkan jawatankuasa sementara (protem) bagi menentukan agenda sidang kemuncak Selamatkan Malaysia.

“Ia patut menjemput personaliti seperti bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan veteran politik serta NGO seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Ambiga Sreenivasan dan Tan Sri Simon Sipaun untuk menyampaikan ucaptama tentang bagaimana mahu menyelamatkan Malaysia,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, masalah ekonomi bukan satu-satunya punca krisis keyakinan kerana ia juga melibatkan politik dan pentadbiran baik, terutamanya dua skandal – 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak sebelum pilihanraya umum ke-13.

Menurutnya, rombakan Kabinet pada 28 Julai lalu turut mengeruhkan keadaan – selain pemecatan Muhyiddin dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail – kerana ia gagal mencari jalan keluar masalah negara tetapi hanya mahu mempertahankan kedudukan dan kuasa Najib. – Roketkini.com