Rencana

Parlimen: Tak perlu malu belajar dari UK

Sebut sahaja United Kingdom atau singkatannya UK, pastinya terbayang figura monarki mereka, Prince William dan Kate Middleton yang berjaya menawan hati warga dunia termasuk rakyat Malaysia sendiri. Barangkali kepopularan mereka ini berkait rapat dengan struktur pemerintahan Malaysia yang sama dengan mereka dan hubungan sejarah yang panjang antara kedua-dua negara ini.

Walaupun berkongsi pengamalan sistem demokrasi yang sama, terdapat beberapa perbezaan yang ketara di antara kedua-dua negara ini dalam amalan demokrasi moden. Negara Barat ini telah memperkenalkan beberapa inisiatif pendemokrasian yang menarik untuk dijadikan rujukan kepada negara kita. Secara mudahnya, inisiatif yang dijalankan berpaksikan kepada 2 prinsip asas iaitu menggalakkan penglibatan rakyat dan pengukuhan prinsip semak dan imbang (check and balance) dalam institusi Parlimen.

Ketua pembangkang dan kabinet bayangan

Antara inisiatif pendemokrasian yang penting di UK adalah pengiktirafan Ketua Pembangkang dan penubuhan kabinet bayangan di Parlimen. Ketua Pembangkang mempunyai elaun yang berbeza dengan ahli Parlimen lain dan dianggap sebagai jawatan rasmi negara. Senarai kabinet bayangan juga disenaraikan dalam laman web Parlimen selepas perbincangan antara wakil-wakil pembangkang, Di sana Ketua Pembangkang bukanlah dianggap musuh negara tetapi sebagai wakil semak dan imbang kepada dasar-dasar kerajaan.

Sedihnya, di Malaysia, Ketua Pembangkang hanyalah Ahli Parlimen biasa tanpa sebarang keistimewaan. Hanya sebuah bilik kecil sebagai pejabat di Parlimen. Tiada sebarang keistimewaan lain apatah lagi kepada partinya. Senarai kabinet bayangan masih belum dipraktikkan di Malaysia dan bukanlah satu kewajipan dalam peraturan Parlimen.

Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada negeri Selangor dan Pulau Pinang yang telah bertindak bijak mengiktiraf jawatan Ketua Pembangkang di negeri masing-masing walaupun sehingga kini jawatan Ketua Pembangkang Selangor masih gagal diisi oleh wakil pembangkang.

Dana pembiayaan awam dan pendaftaran parti politik

Inisiatif yang kedua pula menyentuh mengenai pembiayaan awam atau dana kepada MP yang memenangi kerusi berdasarkan jumlah undian. Terdapat dua dana di UK, iaitu “Short Money” diperkenalkan pada tahun 2006 dan diberikan oleh Parlimen kepada Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat Britain.

Satu dana lagi adalah daripada Suruhanjaya Pilihanraya UK melalui “Policy Development Grants “ yang berjumlah £2 juta setahun kepada setiap parti politik yang mendapat jumlah undian tertentu. Dana ini kemudiannya akan digunakan untuk tujuan kajian dan aktiviti parti di kawasan terbabit. Menariknya, Suruhanjaya ini bukan sahaja mengawal selia pilihanraya tetapi menguruskan pendaftaran dan pentadbiran perbelanjaan parti politik merangkumi pembiayaannya serta sumbangan yang diterima.

Hal ini berbeza di Malaysia kerana parti politik masih lagi didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Akta Pertubuhan pula ditadbir oleh Jabatan Pendaftaran secara pentadbirannya dikawal oleh Kementerian Dalam Negeri. Dari segi strukturnya, jelas terdapat konflik kepentingan antara parti pemerintah dan pembangkang terutamanya apabila banyak penubuhan cawangan-cawangan baru parti pembangkang tidak dapat didaftarkan.

Selain itu, tiada peruntukan khas kepada kawasan yang dimenangi oleh pembangkang. Segala urus tadbir kawasan hanyalah menggunakan dana parti atau elaun Ahli Parlimen sahaja. Keadaan ini sebenarnya mencabuli hak rakyat untuk mendapatkan dana yang sepatutnya dan seolah-olah ‘dihukum’ apabila mengundi pembangkang.

Dalam masa yang sama, parti kerajaan telah mencipta satu lagi entiti lantikan politik sebagai penyelaras kawasan tersebut agar dana dapat diberikan melalui mereka. Selalunya wakil rakyat yang kalah akan dilantik sebagai penyelaras. Ironinya, entiti inilah yang akan mentadbir dana kawasan terbabit walaupun jelas tidak mempunyai akauntabiliti kepada rakyat. Amalan yang tidak demokratik ini telah meningkatkan kos operasi kerajaan, membazirkan wang rakyat serta berlakunya pertindihan kuasa yang sedia ada.

Dalam hal ini, sekali lagi, Pulau Pinang harus dipuji apabila ketua kerajaannya telah mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM40,000 setahun kepada Dewan Undangan Negeri untuk pengurusan kawasan yang dimenangi pembangkang. Langkah ini kemudiannya diikuti oleh Selangor yang memperuntukkan dana sebanyak RM 200,000 setahun kepada kawasan-kawasan pembangkang.

Umur layak mengundi

Salah satu kempen yang giat dijalankan di UK kini adalah mengenai cadangan menurunkan umur layak mengundi daripada 18 tahun kepada 16 tahun. Polisi ini masih dalam perbincangan dan antara sebab cadangan ini dikemukakan adalah untuk menggalakkan penglibatan anak muda dalam proses pilihanraya dan meluaskan base pengundi agar sesuatu kerajaan mempunyai legitimasi yang lebih baik.

Sebaliknya di Malaysia, umur layak mengundi adalah 21 tahun yang termaktub dalam Perlembagaan. Di Asia Tenggara, hanya Malaysia dan Singapura sahaja di antara negara yang masih mengekalkan umur tersebut walaupun majoriti negara telah bertukar kepada 18 tahun. Lebih mengejutkan, Indonesia juga telah menurunkan umur layak mengundi kepada 17 tahun!

Jika difikir secara rasional, adalah tidak wajar untuk seseorang itu menunggu untuk berumur 21 tahun untuk memilih kerajaan walhal secara undang-undangnya, seseorang yang bergelar dewasa adalah mereka yang berumur 18 tahun.

Penetapan tarikh pembubaran dan pilihanraya

Satu lagi inisiatif yang signifikan adalah penetapan tarikh pembubaran Parlimen UK. Parlimen mereka telah menggubal Fixed-term Parliaments Act 2011 untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dan tarikh pilihanraya pada hari Khamis dalam minggu pertama bulan Mei. Akta ini tidak lagi mengharapkan ilham Perdana Menteri untuk memilih tarikh pilihanraya yang pastinya akan berpihak kepada partinya.

Jika Malaysia beriltizam untuk melakukan perubahan ini, pindaan Perlembagaan diperlukan untuk memansuhkan budi bicara PM dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Walaupun agak idealistik, ia boleh diperhalusi untuk memastikan padang yang sama rata antara kerajaan dan pembangkang.

Soalan kepada Perdana Menteri

Inisiatif yang terakhir dalam artikel ini adalah sesi “Prime Minister’s Question” di Parlimen UK. Perdana Menteri diwajibkan untuk menjawab secara lisan persoalan daripada Ahli Parlimen berkenaan tadbir urus negara dan di situlah rakyat berpeluang untuk melihat cara PM menjawab soalan-soalan kontroversi. Sistem ini juga menggambarkan sejauh mana PM menghormati Parlimen sebagai salah satu institusi kerajaan yang mewakili suara rakyat.

Di Malaysia, tiada kewajipan atau hari khas untuk PM hadir menjawab soalan-soalan daripada Ahli-ahli Parlimen. Kebiasaannya PM Malaysia jarang hadir ke Parlimen dan wakil Menteri akan menjawab segala soalan-soalan lisan bagi pihak PM. Paling menyedihkan PM hanya akan hadir untuk membentangkan bajet negara; itu pun sebagai Menteri Kewangan, tetapi tidak terlibat dalam perbahasan bajet negara terutamanya isu-isu yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang.

Tuntasnya, demokrasi di Malaysia masih perlu banyak penambahbaikan. Tetapi ia tidak akan berlaku jika rakyat berdiam diri. Ia memerlukan kematangan rakyat untuk mendesak satu perubahan ke arah pengamalan demokrasi yang lebih baik.

Tidak semua yang datang dari Timur itu baik dan tidak semua yang datang dari Barat adalah jahat. Jika kita boleh mengidolakan figura monarki UK, apa salahnya juga kita ikut negara Barat, kan? – Roketkini.com