Rencana

Pimpinan UMNO negeri-negeri perlu berani bersuara seperti UMNO Johor

Krisis nasional yang sedang melanda Malaysia hari ini berada pada tahap yang amat kritikal; semuanya berpunca dari orang nombor satu negara; Perdana Menteri Datuk’ Seri Najib Razak. UMNO yang telah mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung derita dengan pelbagai polisi yang tempang; kini wajib memberikan rakyat haknya dengan menolak kepimpinan beliau (PM) dari terus membebankan rakyat dan memporak perandakan negara. UMNO Perlis perlu bertindak sepertimana UMNO Johor untuk bangkit menyuarakan kritikan terhadap salahlaku Najib. Dalam masa yang sama, saya mendesak UMNO Johor agar segera memutuskan hubungan dari UMNO Pusat jika UMNO Johor benar-benar serius untuk memulihkan keadaan.

Malaysia kini dilanda krisis politik dan ekonomi terburuk dalam sejarah disebabkan oleh korupsi serta kegagalan kepimpinan Perdana Menteri Najib. Terkini, nilai ringgit merudum ke paras RM3.93/1USD dan bakal menjadi lebih parah pada masa hadapan.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa “solusi kepada krisis ini adalah mudah tetapi untuk melaksanakannya adalah sukar. Solusinya adalah dengan menyingkirkan individu yang menjadi punca utama segala permasalahan yang dihadapi sekarang. Persoalannya, bagaimanakah hendak melakukannya? Saya juga masih tiada jawapan.”

Seakan-akan terdapat konsensus di kalangan rakyat Malaysia bahawa Najib mesti melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri demi menyelamatkan negara. Saya juga sangat pasti bahawa sebahagian besar ahli UMNO bersetuju dengan pandangan tersebut, lebih-lebih lagi Najib sekarang ini telah bertindak di luar batasan kawalan dan sukar dihentikan sekalipun beliau ditekan dari dalam dan luar negara.

UMNO perlu menunaikan tugasnya untuk menolak Najib dari terus menjadi orang nombor satu menerajui negara atas nama UMNO.

Saya menyeru UMNO Perlis dan kepimpinan UMNO negeri-negeri yang lain untuk menyuarakan hal ini seterusnya mencontohi langkah UMNO Johor yang telah bangkit menyatakan kritikan mereka terhadap skandal 1MDB, ‘derma’ RM2.6 bilion, GST dan isu-isu yang lainnya. Untuk rekod juga, Menteri Besar Johor Khalid Nordin telah menyuarakan isu-isu tersebut semasa kehadiran Najib dalam Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Pasir Gudang dan mendapat perhatian nasional.

Namun pada hemat saya, ia masih belum mencukupi. Saya mendesak UMNO Johor untuk mengambil satu langkah kehadapan dari sekadar melontarkan kata-kata kosong. Rakyat ingin melihat tindakan serius dalam menghentikan tindakan Najib yang berterusan menekan rakyat. Saya menyarankan UMNO Johor agar memutuskan hubungan dari UMNO Pusat!

Saya telah ditanya oleh wartawan semasa sidang media diketuai Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang di Pulau Pinang pada 10 Ogos sama ada DAP Johor bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Istana untuk ‘menurunkan’ Najib. Saya memilih untuk tidak memberikan sebarang respon tentang peranan institusi raja dalam politik walaupun saya sedia maklum Institusi Raja Johor popular.

Namun dari sudut yang lain, DAP Johor bersedia untuk bekerjasama dengan UMMO Johor dalam melawan korupsi dan segera ‘menurunkan’ Najib dengan syarat UMNO Johor bersedia untuk menolak politik perkauman dan memutuskan ikatannya dari UMNO Pusat yang diketuai Najib.

Inilah masanya untuk para pemimpin UMNO mengambil tindakan yang betul dan tepat untuk menyelamatkan Malaysia dan bukan hanya bermain kata semata-mata untuk menyelamatkan partinya yang kian rosak dan berkudis. Saya tegaskan, UMNO ‘berhutang’ dengan seluruh rakyat Malaysia apabila berterusan mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri yang tidak henti-henti memangsakan rakyat dengan segala macam ketirisan, pecah amanah dan melaksanakan polisi yang menggadaikan nasib rakyat. Untuk menjayakan agenda ini, UMNO Perlis harus bangkit dan menyuarakan dengan tegas sepertimana yang telah dilakukan oleh UMNO Johor dan UMNO Johor perlu melangkah kehadapan dalam tekad yang disuarakannya dengan memutuskan hubungan dengan UMNO Pusat yang diterajui Najib. – Roketkini.com

*Ucapan Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, merangkap Pengerusi DAP Johor, di majlis sambutan ulangtahun ke-6 Jawatankuasa DAP Negeri Perlis bersama ahli-ahli DAP Perlis di Kangar pada 10 Ogos 2015