Berita

Kerana hashtag # setahun lalu, polis mahu siasat Rara

 

KUALA LUMPUR, 13 OGOS:  Hanya kerana hashtag # yang ditulis dalam media sosial facebook setahun yang lalu, anggota DAP, Young Syefura Othman atau lebih dikenali dengan nama Rara tiba-tiba akan disiasat oleh polis, esok.

Sehubungan itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mempersoalkan tindakan pihak polis yang seolah-olah menumpukan kepada Rara semata-mata sedangkan beribu-ribu orang juga menggunakan hashtag # yang sama yang dikatakan berkait dengan raja.

“Nampaknya jelas Rara ‘dihukum’ kerana dia seorang rakyat Malaysia dari kalangan orang Melayu muda yang berani bersuara untuk membawa perubahan kepada negara.

“Saya meminta pihak polis supaya membatalkan hasrat mereka untuk menyoal siasat Rara pada pagi esok, kecuali jika mereka memang mahu memanggil beribu-ribu orang lain yang menggunakan hashtag # yang sama,” katanya dalam sidang media di sini petang ini.

Rara pula menjelaskan beliau hanya menulis hashtag # tersebut bersama beberapa hashtag lain pada September tahun lalu tanpa sebarang komen atau apa-apa tulisan di facebooknya.

“Saya seorang rakyat Malaysia yang akur dengan Perlembagaan Persekutuan menjunjung kedaulatan undang-undang dan setia kepada raja dan negara. Seperti juga parti yang saya sertai, iaitu DAP, saya menghormati institusi raja,” katanya. – Roketkini.com