Berita

Sudah ada 8.3 juta pekerja migran di Malaysia, mengapa mahu 1.5 juta lagi?

KLANG, 17 OGOS: Jika sudah ada 8.3 juta pekerja migran di Malaysia, manakala pekerja tempatan pula berjumlah 12 juta, mengapa perlu membawa masuk 1.5 juta pekerja lagi dari Bangladesh?

Persoalan itu ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang mahu Kementerian Dalam Negeri melaksanakan Kajian Penilaian Keperluan Pasaran Buruh sebelum membuat apa-apa keputusan.

Katanya, kajian itu perlu mengambil kira keperluan kemahiran, kelayakan dan unjuran pekerjaan mengikut industri dan sektor untuk beberapa tahun akan datang.

“Sehingga semua ini dilakukan, segala rundingan di antara kerajaan Malaysia dan Dhaka mesti dihentikan,” katanya, mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Charles turut mempertikaikan kenyataan Zahid kononnya kemasukan pekerja migran tidak akan melebihi jumlah rakyat Malaysia kerana perangkaan menunjukkan kehadiran mereka sudah terlalu ramai.

Katanya, Malaysia mempunyai 12 juta tenaga kerja tempatan berbanding 8.3 juta pekerja migran, iaitu 2.3 juta pekerja sah dan di antara 4 dan 6 juta lagi yang berada di dalam negara secara tidak sah.

“Kemungkinan besar angka sebenar pekerja tanpa dokumen adalah 6 juta. Jika kita menghitungnya, sudah ada 8.3 juta pekerja migran di dalam negara. Jika masuk lagi 3.7 juta pekerja luar, jumlahnya akan sama dengan jumlah pekerja Malaysia.

“Jadi, jaminan Zahid bahawa dia tidak akan membenarkan pekerja migran melebihi jumlah rakyat Malaysia tidak meyakinkan sama sekali, jika pekerja migran terus dibawa masuk ke negara kita,” ujar beliau.

Malah, Charles menambah, tatkala Zahid cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa tidak ada salahnya membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh, pegawai-pegawai kanan kementeriannya sudah pun membuat rundingan dengan rakan sekerja mereka dari Bangladesh.

Menurutnya, pekerja migran telah pun menguasai pasaran buruh tempatan, menafikan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dan kerana majikan membayar mereka gaji rendah, ia turut menurunkan nilai gaji pekerja tempatan.

Sehubungan itu, Charles menyokong kenyataan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Seri Shaziman Mansor, yang telah mendesak kerajaan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan dalam sektor-sektor utama ekonomi.

Katanya, kenyataan Shaziman adalah kali pertama seorang pemimpin UMNO membangkitkan isu pekerja migran secara terbuka dengan Zahid yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing.

Shaziman mengemukakan cadangan itu kepada Zahid yang hadir
ke Tampin, Negeri Sembilan untuk merasmikan mesyuarat UMNO bahagian tersebut semalam. – Roketkini.com