Berita

DAP sokong Bersih 4, mahu Najib letak jawatan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: DAP menyokong penuh perhimpunan Bersih 4 bermula 29 Ogos ini untuk menuntut pelaksanaan pilihanraya bersih, kerajaan bersih, hak untuk protes, memperkukuh sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang bermesyuarat di sini malam tadi, dalam sokongannya kepada Bersih, mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap skandal “derma” RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.

Sekiranya beliau enggan meletak jawatan, DAP mahu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibuat di Parlimen.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mesyuarat malam tadi juga bersetuju untuk menuntut supaya skandal RM2.6 bilion itu tidak dikaburkan tetapi ditangani secara menyeluruh oleh sebuah jawatankuasa kebangsaan mengenai dana politik yang dicadangkan oleh Perdana Menteri sebagai prasyarat penyertaan DAP dalam jawatankuasa tersebut.

“DAP juga menuntut supaya Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Paul Low, meletak jawatan kerana cuba menutup skandal kewangan 1MDB sebanyak RM42 bilion dan skandal derma RM2.6 bilion, serta membelakangkan prinsip-prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang pernah mereka janji untuk dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DAP mencabar Najib untuk membuktikan komitmen beliau terhadap nilai-nilai integriti dan akauntabiliti dalam kehidupan awam dengan memastikan semua penjawat awam termasuk dirinya sendiri dan para Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta para Exco supaya mengisytiharkan harta sepertimana yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Selain itu, DAP turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa peristiwa letupan bom di Bangkok, Thailand yang mengakibatkan kematian 20 orang termasuk 7 orang warga Malaysia. – Roketkini.com