Berita

Tukar tema Merdeka: Pulau Pinang hormat Perlembagaan, Yang Dipertua Negeri dan Tentera

GEORGE TOWN, 24 OGOS: Keputusan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menarik diri daripada sambutan Merdeka di Pulau Pinang tahun ini kerana akur dengan desakan Kerajaan Pusat menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa menarik balik tema “Bersih, Cekap, Amanah”.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata atas semangat kemerdekaan, dan demi mempertahankan kewibawaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang selaku Ketua Negeri, kerajaan negeri dengan berat hati terpaksa menarik balik tema “Bersih, Cekap, Amanah”.

Jelas beliau, keputusan ATM serta kedudukan Yang Dipertua Negeri yang diberi penghormatan diraja sebagai lambang yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menjadi teras keputusan kerajaan negeri.

Dengan itu, katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang akan menggunakan tema yang sama dengan yang telah diumumkan oleh Pusat.

“Pengumuman penarikan diri Angkatan Tentera Malaysia dari menyertai perarakan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Peranan Angkatan Tentera Malaysia untuk melakukan perarakan kehormat diraja di hadapan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang adalah satu tradisi yang penting untuk sambutan ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menjelaskan bahawa di saat negara berada dalam krisis ekonomi dan politik, isu tema “Bersih, Cekap, Amanah” tidak sepatutnya menjadi punca pertikaian seperti yang dipolitikkan oleh menteri-menteri Barisan Nasional seperti Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, sikap menteri-menteri tersebut tidak matang dan menyalahgunakan kuasa mereka untuk menafikan hak rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama meraikan sambutan Merdeka.

“Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Pulau Pinang sememangnya telah menggunakan tema yang berlainan daripada sambutan di peringkat kebangsaan semenjak tahun 2010 tanpa sebarang masalah oleh pihak Kerajaan Persekutuan.

“Semenjak itu, sambutan di Pulau Pinang telah dianjurkan dengan tema yang tersendiri dan menepati aspirasi dan harapan rakyat Pulau Pinang. Sambutan ini juga telah disertai oleh Jabatan Pelajaran Negeri dan Angkatan Tentera Malaysia tanpa sebarang masalah sebelum ini,” tambah beliau.

Selaras dengan keharmonian amalan itu, Guan Eng menjelaskan, kerajaan negeri telah mencadangkan tema “Bersih, Cekap, Amanah” yang menepati hasrat mewujudkan sebuah negeri yang bersih dari segi persekitaran, cekap dalam pentadbirannya, dan yang paling penting menjadi sebuah kerajaan yang amanah kepada rakyat negeri.

Tambah beliau, ia juga bukan kali pertama kerajaan negeri menggunakan perkataan “Bersih” dalam tema-tema sambutan sebelum ini. – Roketkini.com