Berita

“Parti tempatan Sabah datang dan pergi sesuka hati…”- Jimmy Wong

KENINGAU, 25 OGOS: Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin, menempelak sikap ‘talam dua muka’ sesetengah parti tempatan negeri ini yang dilihat mempermainkan kesetiaan dan sokongan rakyat Sabah, khususnya di pedalaman.

Malah, katanya, sesetengah parti tempatan yang sentiasa membakar sentimen “Sabah vs Malaya” terhadap DAP pula terang-terang menunjukkan sokongan mereka kepada UMNO-Barisan Nasional yang menekan rakyat.

Ia jelas menunjukkan parti-parti itu tidak serius berkhidmat dan akhirnya dilihat menjadi alat hanya untuk mengekalkan kekuasaan UMNO-BN di Sabah, tambah beliau.

“Mereka beritahu orang kampung bahawa DAP ini parti ‘orang Malaya’. Tapi dia terang-terang sokong UMNO-Barisan Nasional,” kata di hadapan lebih 200 penduduk dalam majlis pelancaran Wanita DAP Keningau di di Kampung Limbawan di sini semalam.

Jimmy yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, parti-parti itu hanya akan muncul menjelang pilihanraya, kadang-kadang dengan nama baru.

“Mereka (parti-parti tempatan) datang dan pergi sesuka hati. Dekat pilihanraya baru datang jumpa rakyat. Mereka tiupkan sentimen Sabah lawan Malaya, ada yang memang dari ‘Malaya’ seperti UMNO tapi mereka diam saja.

“Adakah parti seperti ini perlu kita sokong? Sedangkan DAP lah yang sentiasa berjuang dan komited membela hak rakyat tanpa mengira negeri, wilayah, bangsa, agama, tak kira wanita atau lelaki,” katanya.

Tambah beliau, Sabah melalui sejarah panjang dan mempunyai pelbagai parti politik berhaluan kanan berasaskan suku kaum yang sering bersilih ganti.

“Ada parti Berjaya, PBS, USNO, UPKO, STAR, AKAR, SACC, SAPP dan macam-macam; (mereka) masuk BN keluar BN, bila UMNO masuk, dia (UMNO) pula yang bolot semua di Sabah, mana suara parti-parti ini?” kata beliau. – Roketkini.com