Berita

Ahli dan pemimpin DAP sertai Bersih4 tanpa bendera parti, hormat penganjur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kira-kira 10,000 ahli DAP akan turun bersama rakyat di perhimpunan aman Bersih4 di seluruh negara tanpa membawa bendera parti.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, berkata penyertaan tanpa lambang parti adalah sebagai menghormati permintaan pihak penganjur Bersih yang mahu perhimpunan itu menjadi milik semua, dan bukan untuk mana-mana pihak tertentu.

Katanya, setiap ahli dan pemimpin akan memakai baju kuning, selaras dengan tema Bersih, dan kebanyakan mereka dijangka menyertainya sepanjang 34 jam bermula petang Sabtu ini.

Menurutnya, pimpinan DAP akan berkumpul di Jalan Sultan berhampiran LRT Pasar Seni pada jam 1 petang Sabtu, sebelum bergerak menuju Menara Maybank, dan dijangka sampai ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata pihak polis perlu bekerjasama dengan penganjur Bersih4 dan sukarelawan keselamatan untuk memastikan penyangak dan batu api tidak berpeluang melakukan sabotaj.

“Malah, jika ada peserta Bersih4 yang membuat kekacauan yang mengganggu perhimpunan aman itu, semua peserta Bersih4 yang lain perlu melaksanakan tugas sivik mereka untuk menghalang elemen-elemen tidak bertanggungjawab itu,” katanya. – Roketkini.com