Uncategorized

Bersih 4: Utusan tabur fitnah perkauman

Dosa kewartawanan Utusan Malaysia yang paling besar ialah menyebarkan dakyah perkauman dan kebencian secara manipulasi fakta, iaitu kebenaran dicampuradukkan dengan pembohongan, dan disampaikan sebagai berita kepada orang Melayu.

Untuk perhimpunan aman Bersih 4, sebagai pesta demokrasi terbesar di negara ini, Utusan memilih untuk menghasut rakyat, khususnya orang Melayu, untuk membenci rakan sewarganegara mereka, iaitu kaum Cina.

Hari ini, Mingguan Malaysia sebagai edisi hujung minggu Utusan, telah menjerit dengan tajuk besar “DAP KUASAI BERSIH 4.0” serta tajuk kecil “Didominasi oleh kaum Cina” dan “Peniaga alami kerugian” – ini adalah fitnah yang bersifat menghasut serta boleh mencetuskan huru-hara, semata-mata kerana pembohongan Utusan.

solat3Pertama: Tajuk besar “DAP KUASAI BERSIH 4.0” adalah taktik kotor Utusan yang mengulangi momokan DAP sebagai parti Cina – walaupun jelas DAP adalah parti pelbagai kaum; orang Melayu tidak dihalang daripada menyertainya, malah dijemput dengan ikhlas. Cuma belum ramai Melayu menyertai DAP kerana masih terpengaruh dengan dakyah dan fitnah Utusan serta gerombolan ketuanan kaum. Sedangkan UMNO hanya membenarkan Melayu menyertainya manakala kaum-kaum lain diharamkan sama sekali masuk UMNO. Dan dalam hal ini, DAP tidak campurtangan dengan pentadbiran dan penganjuran Bersih 4 kecuali membantu mempromosikannya.

Kedua: Tajuk kecil  “Didominasi kaum Cina” adalah satu fakta yang sengaja dimanipulasi untuk menunjukkan kepada orang Melayu bahawa kaum Cina yang menguasai perhimpunan aman Bersih 4. Tujuannya tetap sama, iaitu supaya Melayu takut atau benci kaum Cina. Entah mengapa Utusan merasakan orang Melayu perlu taku atau benci kaum Cina. Persoalannya, mengapa Utusan enggan melihat kaum Cina sebagai warganegara dan rakyat Malaysia, sama seperti kaum Melayu juga? Mengapa Utusan mahu menabur kebencian berdasarkan kaum? Apakah jika rakyat Malaysia bukan-Melayu berjaya mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang, Utusan mahu orang Melayu membenci mereka? Apakah jika rakyat Malaysia bukan-Melayu memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup semua rakyat, Utusan tetap mahu orang Melayu membenci mereka?

kedaiKetiga: Tajuk kecil “Peniaga alami kerugian” adalah pembohongan yang nyata dan jelas. Jika sidang pengarang Utusan datang ke perhimpunan aman Bersih 4, mereka akan melihat sendiri bagaimana peniaga meraih keuntungan apabila mendapat ratusan ribu pelanggan yang mendatangi restoran, kedai, hotel, rumah tumpangan, dan pelbagai lagi perniagaan yang tak pernah mereka dapat sejak krisis ekonomi sekarang. Malah, di saat kejatuhan ringgit – sudah tentu bukan salah rakyat atau salah Bersih 4 – para peniaga gembira dengan adanya ratusan ribu peserta Bersih sebagai pelanggan. Malah para peserta memang berdisiplin, mengutip sampah, memastikan harta benda dijaga baik.

Perhimpunan Bersih 4 bukan milik mana-mana parti politik atau mana-mana kaum dan agama. Ia adalah hak rakyat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Apabila tiada provokasi daripada mana-mana pihak, ia menjadi satu acara yang aman, damai dan menggembirakan.

Jika sidang pengarang Utusan tidak terperosok di dalam pejabat berhawa dingin mereka dengan sekadar bermain smartphone dan facebook, mereka dapat melihat sendiri bagaimana harmoninya perhimpunan pelbagai kaum dan agama ini. Jika sidang pengarang Utusan membuang sedikit-sebanyak kebencian di hati mereka, pasti mereka dapat melihat bahawa yang ramai itu bukan “Cina” tetapi warganegara Malaysia yang patriotik, demokratik dan cinta pada keamanan.

Pada masa yang sama, mungkin sidang pengarang Utusan lupa atau pura-pura tidak sedar bahawa tokoh agung pujaan mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut hadir di perhimpunan itu bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali yang menyifatkan Bersih 4 sebagai “people’s power” atau kuasa rakyat.

Masih mahu bermain fitnah lagi, Utusan? – Roketkini.com