Berita

Apa kita nak buat selepas Bersih 4? Daftar diri sebagai pengundi, sekarang

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Jika anda bersemangat tetapi tidak sempat menyertai perhimpunan aman Bersih 4, anda masih berpeluang untuk bersama setengah juta rakyat Malaysia yang menyertainya, bagi menyelamatkan Malaysia yang tercinta.

Malah, jika anda turut menyertai perhimpunan bersejarah itu tetapi belum melakukan satu tanggungjawab yang khusus, anda juga berpeluang berbuat demikian demi negara yang disayangi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong, Eddie Ng Tien Chee, berkata tugas penting itu adalah untuk mendaftar diri sebagai pengundi, jika belum berbuat demikian.

“Sewaktu perhimpunan aman Bersih 4, saya lihat kebanyakan peserta merupakan anak muda yang berkemungkinan besar belum berdaftar menjadi pengundi.

“Saya berharap mulai hari ini,  kita bersama-sama mengingatkan mereka yang belum berdaftar supaya pergi mendaftarkan diri di pejabat pos, pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ataupun mana-mana kaunter bergerak SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, bagi  NGO yang ingin membantu dalam kempen ini,  mereka boleh menganjurkan kempen pendaftaran pengundi di merata tempat dengan bantuan SPR.

Katanya, NGO diharap dapat menyediakan pengangkutan untuk membantu rakyat di kawasan pedalaman pergi ke bandar-bandar terdekat untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi.

Ini adalah berikutan keputusan SPR yang tidak membenarkan pembaharuan dan lantikan baru Penolong Pendaftar Pemilih dari parti politik sejak selepas PRU13, tambah beliau.

Menurut Eddie Ng, jumlah pemilih yang berdaftar di negara ini adalah 13,423,659 orang, dan kira-kira 2.6 juta orang anak Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas belum mendaftar diri.

“Kita harus meneruskan semangat Bersih 4 yang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan pendaftaran pengundi baru agar lima tuntutan himpunan Bersih 4 boleh dicapai.

“Ini merupakan satu-satunya langkah penyelesaian krisis jangka masa panjang untuk menyelamatkan Malaysia,” ujar beliau. – Roketkini.com