Berita

Hapuskan GST untuk semua jenis ubat

BATU GAJAH, 2 SEPT: Kerajaan diminta menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) ke atas semua jenis ubat, dan bukan hanya memberi pengecualian kepada ubat-ubat terpilih sahaja.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar, berkata banyak jenis ubat masih tertakluk kepada GST yang semakin membebankan pesakit.

“Pengecualian cukai hanya untuk ubat penting nasional tidak memadai. Oleh yang demikian, kerajaan harus mengkaji semula  pelaksanaan proses pengecualian bagi semua ubat yang digunakan untuk merawat para pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pada masa ini, senarai ubat penting nasional adalah merupakan sebahagian daripada 7,000 produk ubat terkawal dan 4,000 produk ubat bukan racun yang dikategorikan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah menambah, ubat- ubat di bawah kategori ubat penting nasional yang bebas daripada GST adalah sebanyak 4,217 jenama yang digunakan untuk merawat 30 jenis penyakit seperti, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, dan barah.

“Namun, masih terdapat lebih daripada 2,700 jenis ubat yang dikenakan GST. Kerajaan seharusnya lebih prihatin akan  kesihatan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu, kerajaan  bersikap adil dengan memastikan GST tidak dikenakan langsung untuk semua jenis ubat bagi memastikan tiada pesakit menjadi mangsa diskriminasi. – Roketkini.com