Budaya

Pakatan Maut: Ben’s Bitches tetap celupar… dan itu OK

Walaupun badan letih dengan perhimpunan aman Bersih 4, hati tetap mahu berhibur. Jadi pada esoknya, di hari Merdeka pada sebelah malam di sebuah premis di ibu kota, aku bertandang di gig pelancaran album baru kumpulan Ben’s Bitches.

Aku hadir kerana mendapat tahu Shh…Diam, sebuah band yang aku tak perlu labelkan mereka kerana jiwa dan tumit ku sudah memahami muzik mereka, akan bermain di situ. (Ok lah, mereka main pop/punk yang tak begitu pop/punk)

Sejak melihat mereka di gig Solidariti: Malaysia Milik Kita Bersama anjuran Roketkini.com pada Jun lalu, aku teruja dengan persembahan yang selamba dan santai, tanpa perlu bersungguh-sungguh untuk menunjuk-nunjuk. Seolah-olah (atau memang betul pun) mereka main kerana mereka syok sangat bermain muzik, bukan sebab nak show off.

shhdiam

Shh…Diam! ketika membuat persembahan di Bersih 4 hujung minggu lepas.

Lagu-lagu mereka dari album Attack of the Kongketron, bagi ku, adalah segar, baru, dan menghentakkan kaki; malah kepala juga boleh digoyang. Lirik mereka bukan saja lucu tetapi ada maknanya, jika itu yang dimahukan.

Kenakalan yang tidak bangang terpapar dalam lagu-lagu The Bathroom Song, Guangzhou Girls, I Woke Up Gay, Sivaji Shot a Horse in the Face, Julie Don’t Listen to Them, yang dilatarbelakangkan dengan kebingitan pop rock sudah cukup untuk menenangkan hati dan badan yang penat.

Siapa, apa itu Ben?

Selepas persembahan Shh…Diam itu, bagi aku, tak apalah kalau Ben’s Bitches main macam apa pun. Lagi pun aku hanya tahu tentang band ini melalui namanya saja sejak sedekad lalu tanpa pernah melihat sendiri permainan mereka. Sesekali melayan Youtube terlihat juga Ben’s Bitches yang aku simpulkan sebagai band pop yang suka buat lawak. Namanya pun sudah berbunyi seksis.

Malam itu, mereka membuatkan aku kantoi. Sekurang-kurangnya terkantoi di sanubari. Band yang aku sangka lawak ini rupa-rupanya ‘lebih punk’ daripada kumpulan-kumpulan jaket hitam yang berlogo Misfits atau Ramones, yang berkasut Doc Mart, dan yang suka menari ala line dancing seolah-olah kena hafal koreografi tarian. Ben’s Bitches agak lebih punk kerana persembahan mereka, lagu mereka, dan attitude mereka.

Memanglah menjadi punk itu bukannya baik atau buruk pun. Lantaklah apa nak jadi pun. Namun humor Ben’s Bitches yang kadang-kadang keanak-anakan itu sebenarnya lebih dewasa daripada sesetengah band punk ‘perjuangan’, misalnya, yang masih terperangkap dengan angan-angan revolusi tapi masih terperosok dalam igauan satu kaum, satu hala, dan kadangkalanya membenci orang yang berbeza warna kulit, gender, gaya hidup, dan agama.

bb4Apabila Ben Liew, sebagai watak utama Ben’s Bitches berceloteh, ia memang lucu, lawak dan kadang-kadang lucah – itu memang asam garam kehidupan. Mungkin juga ada yang bunyinya seksis, tapi tak semudah itu untuk dikecam. Kerana liriknya amat real dengan apa yang berlaku di sekeliling. Kesemua liriknya dalam Bahasa Melayu tuturan jalanan, dan bukan bahasa rekaan kaum elit di puncak kuasa yang berjiwa ketuanan satu kaum.

Benar, kumpulan ini sudah dewasa dan tidak lagi menulis lagu punk tentang ibu bapa yang tak membenarkan anak-anak bermain bola selepas senja. Tapi mereka masih boleh menceritakan tentang tunggang-langgang kehidupan, sama ada terpaksa membayar rasuah untuk mengelak kena saman jalan raya, tentang seks, tentang merempat dan merempit, tentang syok sendiri, tentang muzik yang tak masuk radio dan TV. Dan mereka tidak perlu berlakon untuk buat lagu “nasihat”.

Dalam coletahnya sewaktu persembahan malam itu, Ben berkata, “…kami bukan band komersial, bukan band punk”; itu ironi dalaman kerana melodi sesetengah lagu mereka sangat catchy manakala prestasi gila-gila atas pentas yang menjadi trademark mereka itu tetap mengekalkan ke-punk-an mereka. Dan mereka sentiasa celupar. Mungkin itu kekuatannya.

Selain Ben, anggota kumpulan itu adalah Jason dengan kehebatan petikan gitar lead, Khang pemain bass yang bersuara besar, KaHock pengetuk dram, dan penyanyi serta pemain tamborin serta harmonika, Azmyl Yunor, yang semuanya sudah lama berganding bahu bergiat dalam alam seni alternatif di bumi konservatif ini.

Ngalompak ago-go

bb2Dengan berguling-guling atas pentas, dengan gitar bass terpijak dan patah dua, dengan hadirin yang ngalompak ago-go, ia adalah malam syahdu yang menggembirakan lagi menyeronokkan. Dan tiada siapa perlu berlagak lebih suci dari yang lainnya: tidak perlu menjadi hipokrit. Malam itu adalah malam hak saksama, walaupun itu cuma untuk beberapa jam saja.

Sesekali Ben turut melepaskan geram dengan pengalaman muziknya, terutama mengingatkan tentang orang yang mengatakan lagu mereka tidak punya apa-apa makna. “Siapa kata tak ada makna. Lagu kami ada makna. Cuma saya dah lupa apa maknanya.”

Album baru Ben’s Bitches diberi judul Pakatan Maut. Entah apa yang dimaksudkan, itu bukan masalah aku. Tajuk-tajuk lagunya mengesahkan bahawa kumpulan itu masih akan tetap gagal masuk radio atau TV, yang mana mereka tak peduli pun.

Lagu-lagu Kecoh dan Dunia Neraka memang panas dan menggegarkan. Sindiran tajam tentang hal-hal seharian bersama kawan dan lawan jelas dalam lagu Sendiri Mau Ingat, Sehari Dalam Kehidupan, Syiok Sendiri, I Dun Like U! Ke Na Pow!, dan Ini Gitar Mak Aku.

Mungkin kumpulan ini masuk dalam kategori “Suka atau benci, tiada pilihan untuk suka ini sikit, tolak itu sikit”. Seperti Shh…Diam, tak perlu untuk melabelkan band ini. Mereka main apa yang mereka nak main. Pop, punk, rock, blues. Malah mereka tidur seni mereka pun agak lama juga. Lapan tahun malam memanjang, baru kini timbul album baru.

bb3Ben’s Bitches bukan band lawak. Ia boleh punk kerana ia punya attitude. Ia boleh pop kerana ia punya melodi. Ia boleh saja menjadi Iggy Pop atau Captain Beefheart, atau pada bila-bila masa ia menjelma menjadi Green Day. Malah, kalau ia mahu ia mungkin menjadi Rancid atau Exploited – tapi mungkin itu sudah terlalu lawak.

Apa pun, gitar bass mereka sudah pecah. Dan ia bukan sesuatu yang murah. Jadi belilah album baru (dan album lama mereka selagi stok masih ada), dan merchandise seperti t-shirt dan apa-apa yang ada, agar mereka boleh simpan dalam tabung membeli bass baru. Mungkin untuk dipatahkan sekali lagi. – Roketkini.com