Rencana

Bersih 4: Kerana kaum, tak nampak hadirnya ratusan ribu anak muda?

Dua perkara yang penting tetapi tidak semestinya relevan dalam perhimpunan aman Bersih 4 adalah isu kaum dan jumlah peserta. Dalam asas jurnalisme, media massa di negara kita telah memilih untuk memaparkan “who” (siapa) dan “apa” daripada “why” (mengapa) yang sepatutnya mampu menjelaskan fakta dan kebenaran.

Isu kaum sebenarnya tidak memberi kesan yang besar, sama ada positif atau negatif, terhadap matlamat Bersih 4 yang menuntut pilihanraya bersih melalui pentadbiran dan amalan kerajaan yang bersih.

Namun, fokus kepada kaum telah ditimbulkan oleh pemimpin parti pemerintah serta penyokong-penyokong mereka termasuk media massa.

Begitu juga dengan keghairahan pihak yang menyertai perhimpunan itu yang bermain dengan angka – ada yang mengatakan 100,000, ada pula yang mendakwa 500,000. Sama ada 100,000 atau 500,000, ia adalah satu jumlah yang cukup besar untuk satu perhimpunan aman yang sering diuar-uar pemerintah sebagai “bukan budaya kita”.

Malah, mereka yang menentang Bersih 4 cuba memperlekehkannya dengan mengatakan cuma 20,000 saja yang hadir. Apa pun, kita tahu ia lebih dari 100,000 orang.

Dalam kedua-dua isu tersebut, kita perlu kembali kepada matlamat. Seperti yang dijelaskan awal tadi, segala-galanya berkisar pada usaha pembersihan politik Malaysia melalui tuntutan reformasi pentadbiran kerajaan dan proses pilihanraya.

Sama ada kaum Cina menjadi majoriti hadirin atau jumlahnya peserta adalah 500,000, matlamatnya sudah tercapai apabila Kuala Lumpur menjadi lautan kuning menjelang ulangtahun Merdeka ke-58.

Adakah matlamat Bersih 4 akan berubah jika majoriti peserta adalah Melayu atau India? Apakah bezanya jika jumlah peserta adalah 100,000 atau 500,000 (asalkan bukan kurang daripada 20,000 sebagai tanda aras sambutan perhimpunan)? Jawapan kepada kedua-dua soalan itu adalah tidak.

Yang penting, matlamat asas tercapai. Soal-soal lain adalah langkah susulan – meluaskan publisiti kejayaan Bersih 4 ke kawasan separa bandar dan luar bandar, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, menarik penyertaan anak muda agar lebih perihatin politik, dan banyak lagi usaha lain.

 

Anak muda

SUFI5655Jika ada yang mahu melakukan post-mortem Bersih 4, antara isu penting adalah penyertaan anak-anak muda dalam perhimpunan aman tersebut. Tiada siapa menjangka begitu ramai sekali anak muda mengambil bahagian, mungkin lebih 70 peratus daripada keseluruhan warga yang menyertainya.

Kehadiran mereka bukan sekadar memenuhi syarat tetapi datang dengan penuh semangat, membawa pelbagai sepanduk ciptaan sendiri, menghasilkan bermacam persembahan jalanan sendiri. Pendek kata, segala-galanya hasil karya original tanpa dibayar mana-mana pihak tertentu. Terbukti ini adalah kreativiti anak muda yang sering dibungkam pihak berkuasa yang semakin tua usia kekuasaan mereka.

Anak-anak muda yang selama ini dikatakan hanya suka merempit, bergaya, bermain computer games dan malas berfikir telah datang berbondong-bondong menghadiri pesta demokrasi yang terbesar dalam sejarah negara. Dan mereka datang tanpa dibayar, tanpa dibawa dengan bas percuma, tanpa diberi t-shirt percuma.

Anak-anak muda yang sering dikatakan berjiwa agresif, sikap tak peduli dan keras juga rupa-rupanya sangat berdisiplin tanpa dipantau oleh guru atau pengawas. Secara natural mereka mewujudkan kumpulan-kumpulan kecil untuk mengutip sampah, menunjuk arah, membahagikan makanan dan minum sumbangan warga-warga perihatin, mengawasi dan mengawal orang Islam bersolat di jalan raya, berkongsi apa sahaja dengan sesiapa sahaja yang berdekatan. Fenomena itu telah menitiskan air mata beberapa orang lama yang selama ini hidup dengan segregasi/pemisahan kaum.

Sayangnya media massa enggan mengiktiraf kehadiran mereka, semata-mata kerana warna kulit mereka. Ini bukan sahaja rasisi, malah zalim kerana enggan menerima hakikat kehadiran suara muda, suara pencabar establishment, yang jarang kedengaran sejak kebangkitan mahasiswa pada awal 1970-an dahulu.

SUFI6511Tidak cukup dengan anak muda, kehadiran wanita, khususnya generasi yang muda, juga sesuatu yang mengejutkan. Masyarakat konservatif Malaysia biasanya suka membelakangkan wanita kerana lelaki hati-wira menganggap dirinya perlu duduk di barisan depan untuk meneruskan stereotaip peranan gender.

Seperti dalam isu kaum, media massa gagal melihat gajah di depan mata kerana terlalu asyik dengan kuman di seberang laut. Malah, apabila wanita digambarkan dalam media, ia masih bersifat negatif – seolah-olah memberi gambaran lama bahawa wanita tidak perlu bersuara, tidak boleh agresif, dan hanya perlu duduk di rumah memasak, membasuh baju dan menjaga anak.

Satu lagi fenomena dalam Bersih 4 ialah kehadiran golongan bandar (urban) kelas pertengahan yang biasanya dikaitkan dengan kehidupan mewah. Gaya hidup sebegini tentu janggal jika dikaitkan dengan protes jalanan. Malah ia menjadi lebih ganjil apabila golongan mewah dan bergaya ini rela tidur di atas jalan raya, di kaki lima sepanjang dua hari perhimpunan aman itu.

Amalan kewartawan yang sebenar menuntut fenomena seperti ini diterima sebagai “news” kerana ia adalah perkara baru, segar dan menarik perhatian umum. Namun media di negara ini masih tidak berubah dengan gaya pemberitaan basi yang hanya mampu melihat kaum, etnik dan ras sebagai asas.

 

Jalan keluar perkauman

Sepatutnya media massa, sama ada arus perdana atau portal berita, bertanya:

  •         Mengapa ramai sangat anak muda menyertai Bersih 4?
  •         Mengapa ramai benar wanita muda menyertai Bersih 4?
  •         Mengapa ramai golongan kelas pertengahan menyertai Bersih 4?
  •         Mengapa semakin ramai rakyat, khususnya dari bandar dan separa bandar, berani mempertikai kerajaan?
  •         Mengapa sekarang rakyat semakin berani?
  •         Mengapa dahulu rakyat kurang berani?

 

Jika persoalan mudah ini ditanya saban hari, berkali-kali dalam pelbagai suasana, dan didedahkan jawapannya kepada umum, ia mampu menjadikan perkauman tidak relevan lagi. Kerana dalam hal ini “why” (mengapa) adalah lebih penting daripada “what” (apa) dan “who” (siapa). Kerana dalam hal ini, kaum atau agama bukan menjadi penentu atau jawapan kepada sebab “mengapa”.  

Hanya mereka yang terdesak serta takut hilang kuasa sahaja yang akan mempertahankan kebatilan mereka dengan bertopengkan perkauman dan tafsiran agama yang sempit. – Roketkini.com