Budaya

Young and Malay: Buka gelanggang perbincangan identiti

Buku terbitan Gerak Budaya bertajuk Young and Malay ini dengan mudah menarik perhatian dengan reka grafik muka depan; lakaran separuh badan pemuda berjaket kulit dengan rambut pacak-pacak, trend rambut yang telah melariskan gel-gel penggaya rambut di pasaran satu ketika dulu. Trend rambut ini sangat terkenal di kalangan pelajar sekolah ketika itu sehingga guru-guru berkongsi satu jenaka yang sama, “rambut kau ni kalau kucing jatuh boleh mati.”

Ia lebih kelakar jika diucapkan pada waktu itu. Kamu perlu ketawa. Kehidupan di sekolah agak mencabar. Guru sekolah lebih passionate dengan tugas mereka dan rotan sentiasa dibawa masuk kelas. Tapi itu cerita saya. Yang tak ada kaitan dengan buku ini. Sama seperti muka depan buku ini yang sebenarnya tak banyak kaitan dengan kandungan tulisan di dalamnya, kecuali satu tulisan pengakuan seorang fanboy punk rock yang meminati muzik dan attitude punk sekaligus menjadi latar utama yang mempengaruhi perspektifnya melihat sekeliling.

Young and Malay bagaimanapun bukanlah catatan angry young men dan pemberontakannya. Tapi boleh saja buku ini mempunyai karakter sendiri. Letak tepi reka grafik Fahmi Reza itu, buku ini secara sopan dan berlapik cuba mengupas persolan perkauman dari mata si budak Melayu (yang membesar di sebuah negara dengan budaya majmuk).

Sembilan penulis berkongsi pengalaman membesar masing-masing. Ia ditulis dari sudut retrospektif dengan memfokuskan pengaruh-pengaruh dan anekdot-anekdot yang membawa mereka kepada perspektif politik yang mereka ada hari ini. Setiap penulis cuba bercerita tentang “kenapa saya jadi saya yang hari ini”.

 

Terima kasih Mahathir

Antara tulisan yang menarik berjudul Sapere Aude; Daring To Be Wise oleh Izmil Amri. Tulisan yang mengambil frasa terkenal tokoh pencerahan Immanuel Kant itu merupakan kisah pengalaman seorang yang lahir di Pulau Pinang dalam sebuah keluarga Umno. Seawal umur dua bulan lagi, bayi Kantian ini telah dibawa datuknya ke Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur. Dari situ bermulalah kisah pergolakan jiwa batin, akal fikir si penulis untuk meneroka wilayah gelap, memecahkan tempurung yang ditanda dengan nama Mahathir.

Seperti kebanyakan generasi yang lahir awal tahun 80-an, penulis ‘terhutang budi’ kepada bekas Perdana Menteri itu yang meraih kesedaran politik di kalangan rakyat dengan Reformasi 1998 sebagai garis mula. Ketika budak berumur 11 tahun lain teruja menunggu tibanya waktu kelas Pendidikan Jasmani, si penulis sudah bertatih menyebut perkataan ‘Bangsa Malaysia’, Wawasan 2020, Koridor Super Multimedia, liwat dan Anwar Ibrahim. Sesuatu yang mungkin juga dikongsi sedikit sebanyak oleh kebanyakan budak Melayu yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan.

Yang mungkin membezakan pengalaman si penulis dan rakan sebayanya yang lain adalah beliau melukis bendera PAS dengan lakaran muka Anwar Ibrahim pada dinding biliknya ketika di sudut dunia lain Son Goku telah dihidupkan semula oleh tujuh biji mutiara naga dan membuat kanak-kanak lain menyimpan tekad melawan kuasa jahat yang ingin menghancurkan planet Bumi. Tanpa mengenali penulis, membaca pengalamannya kamu mungkin membayangkan ketika ini si penulis adalah pemegang kad ahli Angkatan Muda Keadilan atau bekerja dengan NGO yang cenderung mengkritik dasar-dasar kerajaan. Atau cuma salah seorang dari ratusan ribu yang berbaju kuning di Dataran Merdeka hujung minggu lalu. Yang kita boleh pasti, penulis adalah salah satu benih generasi yang dibaja dengan propaganda ‘Umno pembela bangsa Melayu’ tapi kemudian apabila dihadapkan dengan pil biru dan pil merah dia akan kata; “Kau jangan nak kencing aku.”

Dalam tulisan yang diselit anekdot yang menghiburkan ini, ia cuba menyelitkan tema buku ‘1984’ karya Orwell, yang kebetulan tahun kelahiran si penulis. Mungkin jika karya Orwell itu dijadikan teks KBSM, murid sekolah hari ini akan melukis gambar Bunga Raya dengan di bawahnya slogan “War Is Peace, Freedom Is Slavery, and Ignorance Is Strength”. Analogi simplistik barangkali, tapi apa kurangnya status facebook seperti “budak-budak Melayu perlu bangkit melawan Cina Lowyatt”… yang ditulis oleh seorang bapa dengan lapan orang anak.

 

Buka gelanggang

Sembilan tulisan dalam buku Young and Malay ini, boleh dikatakan semuanya tidak terlepas dari menyentuh soal pendidikan. Masing-masing berkongsi pengalaman ketika mereka memakai uniform sekolah, berbaris di padang setiap Isnin menyanyikan lagu Negaraku dan meratap setiap minit banal mendengar ucapan Guru Besar. Setakat pembacaan saya, sembilan penulis ini tidak menyorok bawah meja untuk ponteng perhimpunan. Atau mungkin mereka segan bercerita tentangnya kerana buku ini sendiri adalah sebuah retrospektif dengan temanya seakan-akan sebuah ‘political correctness’ di mana mereka memilih anekdot yang sesuai untuk mesej penceritaan. Sekali imbas, mereka semua boleh saja jadi ‘role model’ belia bangsa Malaysia.

Sedikit sisi naif bagaimana mereka turut menyertai ‘dunia kegelapan’ mungkin akan lebih real untuk dibaca, atau setidaknya sebagai pembaca saya boleh melihat soal-soal pokok dalam pergelutan mereka keluar dari ‘pembasuhan minda’. Bagaimana mereka tidak pernah tahu menyebut nama pelajar Cina yang duduk di bangku depan dan sentiasa membawa botol air ke sekolah. Atau ketika kelas Pendidikan Jasmani mereka sentiasa bermain bola sepak ketika sekumpulan pelajar bangsa lain bermain bola keranjang.

Banyak yang kita boleh belajar dari pengalaman sembilan penulis buku ini yang mempunyai kesedaran tentang hak kesamarataan dan keadilan sosial. Mereka bertuah memilikinya. Mungkin di buku yang lain, atau di kedai kopi, kita juga boleh membincangkan secara terbuka dan lebih jujur sesuatu permasalahan seperti sikap perkauman. Kerana saya rasa, saya tidaklah ‘secerah’ sembilan penulis ini semasa kanak-kanak. Saya ada mulut yang cenderung mengulang apa-apa yang saya dengar di sekeliling dan akal yang mudah dipengaruhi oleh kartun di TV. Mengabaikan perenggan-perenggan cerita dimana seseorang itu menjadi prejudis terhadap bangsa lain tak jauh beza dengan mana-mana slogan kosong yang membayangkan betapa bersatu padunya kita sebagai rakyat Malaysia, dan betapa kosongnya pengisian slogan itu.

Tulisan lain dalam buku ini yang menarik untuk dibaca adalah Deconstructing The Malay Narative karangan Altaf Deviyati. Penulis berkongsi sisi pengalamannya sebagai anak Malaysia yang dibesarkan di Scotland, jauh dari tanah air dan bagaimana sekembalinya ke tanah air ia belajar mengenal hati budi Malaysia sebagai sebuah naratif identiti. Altaf Deviyati tidak seperti Izmil Amri yang perlu memilih antara pil merah dan pil biru dalam ‘conditioning’ dan ‘brainwashing’ yang disuntik dalam segenap aspek kehidupan hariannya di tanah air. Altaf Deviyati diberi carte blanche untuk menterjemahkan sendiri identitinya sebagai anak Malaysia. Dan menurut penulis yang kini bekerja sebagai penganalisis di Penang Institue ini, pentakrifan semula identiti ini penting dalam keadaan di mana autoriti termasuklah penguasa dan institusi agama masing-masing cuba memaksakan identiti definitif yang lebih bersifat untuk menjaga kepentingan politik mereka.

Zairil Khir Johari dalam tulisannya The Real Malay Dilemma¬†yang turut dimuatkan buku ini cuba merumuskan kritikan Dilema Melayu bukan hanya sebagai sebuah buku buruk yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri, tapi juga sebagai ‘kesedaran palsu’ orang Melayu yang membantutkan proses pembentukan bangsa Malaysia.

Sembilan tulisan dalam buku ini seakan cuba membuka gelanggan perbincangan tentang identiti Bangsa Malaysia yang telah disebut-sebut sejak lebih dua dekad lalu. Ia mungkin ditulis dari kaca mata si anak Melayu, tapi mereka yang dihatinya sudah lama berbunga mekar membayangkan sebuah bangsa yang lebih dari sekadar keturunan. Ia adalah kuncup-kuncup baru untuk sebuah mimpi yang boleh saja menjadi realiti atau mimpi buruk. Yang mungkin semua penulis dalam buku ini cuba katakan persis ini: “Pilihan di tangan kita”.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh berhubung terus dengan penerbit Gerak Budaya. – Roketkini