Rencana

Masalah dengan sekolah vernakular

Satu soalan yang sering dilemparkan kepada saya, biasanya dengan niat provokasi, adalah sama ada saya menyokong pemansuhan pendidikan venakular, dan sejajar dengan itu sama ada saya percaya bahawa jawapan kepada masalah perpaduan negara kita terletak pada pendidikan satu aliran.

Jawapan saya setiap kali saya diajukan soalan ini adalah tidak, dan bukan kerana saya meluahkan jawapan politik semata-mata. Saya mengatakan tidak kerana saya percaya kepada pilihan dan persaingan dalam pendidikan, serta hakikat bahawa bahasa pengantar mahupun komposisi etnik sekolah bukanlah punca perpecahan atau faktor yang menyebabkan kecenderungan kepada perkauman.

Ya, mungkin premisnya mudah dipercayai – sekiranya anak-anak kita ke sekolah yang terdiri daripada hanya satu bangsa dan bercakap satu bahasa, maka mereka akan mengalami kesukaran dalam pergaulan mereka dengan yang mempunyai rupa dan bahasa yang berbeza.

Pemikiran beginilah yang dicetuskan kembali baru-baru ini oleh Menteri Pendidikan baru Dato’ Seri Mahdzir Khalid, yang mengumumkan bahawa modul pembinaan negara yang dikenali sebagai “Bina Bangsa” akan diperkenalkan tahun depan di peringkat sekolah rendah, bagi menangani apa yang difikirkan oleh beliau sebagai punca perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia, yakni kekurangan interaksi antara kanak-kanak daripada aliran sekolah yang berlainan.

Menjelaskan rasional untuk program ini, Mahdzir merungut bahawa sekolah kebangsaan menghadapi kesukaran menarik bukan Bumiputera kerana kewujudan sekolah vernakular, yang menyediakan pendidikan dalam bahasa ibunda Cina dan Tamil. Oleh itu, satu program wajib diperlukan untuk memaksa kanak-kanak sekolah vernakular untuk bergaul dan beramah mesra dengan rakan-rakan mereka dari sekolah-sekolah lain.

Walaupun idea menggalakkan penglibatan yang lebih silang budaya wajar dipuji, dan dengan sendirinya tidak menjadi masalah, rasional di sebalik logik Menteri Pendidikan untuk melaksanakan program ini adalah amat terpesong.

Pertama, andaian bahawa sekolah vernakular memupuk perpecahan manakala hanya sekolah kebangsaan dapat menyatukan rakyat Malaysia adalah satu anggapan yang salah dari segi empirikal.

Bertentangan dengan persepsi umum, sekolah kebangsaan kini sebenarnya lebih mono-etnik berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular Cina. Walaupun sekolah kebangsaan pada 1960-an dan 1970-an boleh berbangga dengan kemasukan bukan Bumiputera yang tinggi, trend ini telah lama melihatkan penurunan. Malah, menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), murid Bumiputera kini merupakan 94 peratus daripada enrolmen di sekolah rendah kebangsaan. Ini bermakna bahawa enrolmen bukan Bumiputera di sekolah kebangsaan telah menurun kepada paras rendah iaitu hanya 6 peratus.
Sementara itu, PPPM juga melaporkan bahawa pendaftaran bukan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina telah meningkat kepada 12 peratus – dan semakin meningkat. Ini secara langsung bermakna sekolah-sekolah Cina hari ini lebih berciri pelbagai kaum berbanding sekolah kebangsaan. Malah, ada sekolah Cina dengan jumlah enrolmen bukan Cina yang sangat besar. Satu contoh ialah SJKC Tiong Hua Kok Bin di Klang, yang mempunyai kira-kira 45 peratus pelajar bukan Cina.

Hakikat bahawa semakin kurang ibu bapa bukan Bumiputera memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan manakala lebih ramai ibu bapa Bumiputera kini memilih sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina lantas meleburkan mitos bahawa sekolah-sekolah vernakular adalah punca perpecahan kaum dan membuktikan bahawa ibu bapa lebih mementingkan kualiti pendidikan dan daya saingan sebagai pertimbangan utama dalam pemilihan sekolah.

Kedua, menurut logik Mahdzir ini, semua murid Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) akan menjadi manusia rasis yang bersifat syak wasangka terhadap bukan Melayu atas dasar sekolah tersebut dikhaskan hanya untuk Melayu. Walau bagaimanapun, saya benar-benar boleh mengesahkan bahawa hal ini tidak benar, kerana saya mempunyai ramai kawan dan saudara-mara yang pernah belajar di sana.

Pada masa yang sama, saya juga mempunyai rakan-rakan yang belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina sepanjang tempoh pendidikan mereka, dan hari ini menjadi warga Malaysia sejati yang cintakan negara sebagaimana rakan saya daripada MCKK. Dalam nada yang sama, saya juga mengenali ramai orang Eropah yang membesar dalam persekitaran seluruhnya Caucasian tanpa berjumpa dengan mana-mana orang bukan-Eropah sehinggalah alam dewasa, namun tidak sedikit pun taksub dalam cara pandang dunia mereka.

Pada masa yang sama, meskipun anak-anak kita bersekolah di sekolah kebangsaan tetapi berulang kali diberitahu agar tidak makan, bergaul dan beramah mesra dengan rakan-rakan bukan Islam mereka, atau bahawa kaum lain adalah pendatang yang tidak berhak dilayan serata dengan mereka, bagaimanakah cara pandang dunia yang akan mereka bentuk?

Sebenarnya, bukan komposisi etnik atau bahasa yang digunakan dalam persekitaran seseorang itu yang membentuk cara pandang hidupnya, sebaliknya nilai-nilai yang disampaikan di sekolah dan di rumah. Selagi sekolah-sekolah kita menggalakkan rasa hormat dan menghargai warisan masing-masing serta meraikan kepelbagaian budaya sebagai sumber kekuatan, maka pastinya anak-anak kita akan membesar menjadi rakyat Malaysia yang sopan dan terangkum.

Justeru, jika kita menghadapi masalah perpecahan pada hari ini, mungkin kita perlu secara serius mempersoalkan nilai-nilai dan naratif yang tersemai dalam sukatan pelajaran sistem pendidikan kita, dan bukannya beralih menyalahkan sekolah aliran berlainan yang telah kita warisi sejak Merdeka lagi.

Oleh itu, masalah dengan sekolah vernakular bukanlah sekolah vernakular itu semata-mata, tetapi pendapat sesat yang tersebar luas bahawa sekolah-sekolah ini mewujudkan perpecahan kaum dan menjadi penghalang kepada keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia. Lagipun, saya ragu-ragu jika ada ahli Perkasa yang bersekolah di sekolah Cina.